Monday, April 21, 2014

Menjadi Lagenda Blues Dengan Bantuan Syaitan?!


Robert Leroy Johnson (8 Mei 1911 - 16 Ogos 1938) adalah pemuzik dan penyanyi blues dari Amerika Syarikat yang mana kombinasi nyanyian, skil bermain gitar dan penulisan lagunya banyak mempengaruhi pemuzik generasi selepas beliau sehingga ke hari ini.

Robert Leroy Johnson

Namun, walaupun dengan bakat yang mengagumkan seperti Johnson, dia lebih dikenali atas sebab kematiannya ketika berusia 27 tahun yang penuh misteri, menjadikan nama Robert Johnson sebagai pendahulu dalam senarai "Kelab 27".

Lagenda blues Robert Johnson lahir di Hazelhurst, Missisippi dan membesar dengan muzik Delta Blues - stail terawal dalam muzik blues yang berasal dari daerah kelahirannya.

Bermula dengan belajar bermain harmonika sebelum menguasai gitar, dia meninggalkan kampung pada usia 19 tahun untuk mengembara ke seluruh negara, mengadakan persembahan di parti-parti, juke joint, bar-bar murah dan tempat-tempat lain.

Di San Antonio (1936) dan Dallas (1937), Johnson merakamkan 29 buah lagu sebelum mati setahun kemudian. Enam buah daripada lagu-lagu Johnson ada menyebut berkenaan syaitan atau sesuatu yang berbentuk paranormal.

Robert Leroy Johnson [2]

Walaupun semua karya lagenda yang tinggal adalah dalam rakaman Texas, pengaruh Johnson banyak memberi kesan kepada pemuzik blues dan rock 'n' roll selepas beliau, malah sebahagian besar pemuzik terbaik dunia mengakui pengaruh karya Johnson kepada mereka termasuk Led Zeppelin, Bob Dylan, The Rolling Stones, U2, Jimi Hendrix dan Eric Clapton.

Sebelum berjaya merekodkan lagu-lagu lagenda, Johnson dikatakan mengalami saat-saat paling sukar dalam perjalanan karier dan hidupnya. Isteri kesayangan Johnson mati bersama anak mereka semasa melahirkan anak sulungnya sekitar 1930 dan bermula pada saat itu dia dikatakan menumpukan diri sepenuhnya pada gitar.

Sebahagian daripada mitos perjanjian Syaitan datangnya daripada dakwaan yang mengatakan dia hilang seketika pada awal 30an dan pulang dengan kemahiran gitar yang jauh lebih baik berbanding sebelumnya.

Ramai yang tidak percaya, terutamanya mereka yang sudah biasa melihat persembahan Johnson, bagaimana mungkin kemahiran gitar blues yang dipersembahkannya boleh berubah jauh hanya dalam tempoh setengah tahun!

Johnson yang pada awal kariernya banyak dipengaruhi Son House dan Charley Patton yang diminatinya sejak mula-mula mempelajari gitar pada penghujung 1920an, tiba-tiba pulang dengan gaya tersendiri dengan gerakan kod yang unik.

Robert Leroy Johnson Mystery

Lagenda mendakwa semasa kehilangan Johnson, dia diberitahu untuk membawa gitarnya ke suatu simpang berdekatan Rosedale pada tengah malam. Apabila sampai disana, dia melihat satu lembaga besar sedang menantinya di tengah-tengah persimpangan antara empat jalan itu.

Johnson kemudiannya mendekati lembaga itu dan menunjukkan gitarnya. Lembaga itu kemudiannya mengambil gitar itu dan mengubah 'tune'nya. Kemudian memainkan beberapa buah lagu sebelum memulangkannya kepada Johnson, sekaligus memberikan segala kemahiran instrumen itu sebagai pertukaran dengan nyawa Johnson!

Pada tahun 1936, Johnson berkelana ke Texas untuk merakamkan sekurang-kurangnya 29 buah lagu. Namun, ada pihak yang mendakwa Johnson sebenarnya merakamkan 30 buah lagu dan lagu terakhirnya hilang secara misteri sehingga ke hari ini!

Ramai yang terpesona dan kagum pada hakikat kehebatan Johnson dalam tempoh masa yang sangat singkat. Ada pihak yang mula mengesyaki ada sesuatu yang disorokkan Johnson. Dia akan membelakangi penonton semasa membuat persembahan dan ada ketikanya meninggalkan penonton ditengah-tengah persembahan.

Khabar angin mengenai abiliti luar biasa ketika bermain gitar bermula bila rakan dan mentornya, Son House berkata, "Dia menjual rohnya untuk bermain sebaik ini". Setahun kemudian, Johnson mati selepas mengadakan persembahan di sebuah bar.

Dikatakan tiga buah lagunya, Cross Road, Hell Hound On My Trail dan Me And The Devil bersama liriknya adalah rujukan kepada perjanjian Johnson dengan Syaitan.

Khabar angin mengenai perjanjian Johnson dengan Syaitan lebih cepat tersebar setelah orang ramai tahu reputasi guru gitarnya, Ike Zinnerman yang dikatakan gemar mempelajari gitar ditengah malam sambil duduk di atas batu nesan kubur lama di halaman gereja.

Sesetengah peminat mendakwa Johnson mempunyai mata yang jahat, sedangkan kebenarannya, dia menderita katarak kecil pada mata. Mengenai dakwaan Johnson berpaling ke belakang ketika membuat persembahan, mungkin pada waktu itu ianya dilihat pelik, tapi hari ini ramai pemuzik mengambil sikap begitu kerana tidak gemarkan kegilaan peminat.

Eddie Van Halen misalnya kerap memalingkan belakang kepada kepada penonton untuk menyembunyikan teknik beliau daripada gitaris lain.

Kelab 27

Johnson mati pada usia 27 tahun dengan meninggalkan nama yang cukup besar sehingga tertubuhnya "Kelab 27" yang kemudiannya dianggotai Brian Jones (The Rolling Stones) dan Jimi Hendrix yang sama-sama mengagumi beliau.

Terma "Kelab 27" dikatakan pertama kali digunakan oleh seorang lagi pemuzik hebat yang dipengaruhi Johnson iaitu Eric Clapton.

Eric sendiri mendakwa dirinya nyaris-nyaris menjadi mangsa "Kelab 27" akibat ketagihan kronik beliau pada heroin ketika usia tersebut.

Namun, masih ramai pemuzik terkenal berakhir tragis sebagai mangsa mitos "Kelab 27" dan kebanyakannya adalah atas sebab gaya hidup mereka sendiri; kegagalan menghadapi tekanan dan masalah ketagihan dadah serta alkohol.

Walaupun "Kelab 27" dan kisah pemuzik menjualkan rohnya kepada Syaitan untuk mendapatkan kemahiran bermain gitar adalah mitos yang sengaja diada-adakan. Yang pasti, semua mitosnya bermula daripada bakat luar biasa Johnson sebagai pemuzik sebagai lagenda sebenar.

Benar atau tidak Johnson pernah membuat perjanjian dengan Syaitan, yang pasti Johnson dianggap sebagai master dalam muzik blues atau Bapa kepada Delta Blues sehingga ke hari ini.

BACA INI JUGA: Mesej Rahsia Tersirat Illuminiti Disebalik Pembikinan Filem Avatar

-SENTIASAPANAS.COM

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon