Tuesday, March 25, 2014

Derita Hidap Penyakit Misteri Dermatografia


Info Kesihatan. Gusar hati Sarah Beal, 43, memikirkan penyakit misteri yang sedang dihidapnya sehinggakan seluruh kulitnya gatal-gatal.

Sarah Beal dermatografia

Apa sahaja yang dilakukan serba tidak kena. Bukan sahaja mengalami kegatalan yang berpanjangan, malahan turut meninggalkan kesan garisan hodoh pada kulit apabila digaru.

"Pada mulanya saya fikir keadaan ini berpunca daripada pertambahan usia yang menyebabkan kulit menjadi sensitif. Namun, lama-kelamaan saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena berlaku.

"Pernah sekali saya cuba menggores kulit di belakang badan. Ia bukan sahaja meninggalkan kesan calar yang agak besar, tetapi juga berwarna merah dan sangat sakit," kata pengusaha kedai kek ini kepada akhbar Daily Mail di Britain.

Lakaran kulit

Sarah Beal dermatografia [2]

Penderitaan ibu kepada lima orang anak tersebut berlarutan apabila kulitnya terasa bagaikan dicucuk jarum jika terkena sebarang jenis kain.

Misteri yang menghantui wanita dari Warkishwire, sebuah daerah kecil di England itu bagaimanapun terungkai kira-kira tiga tahun lalu selepas dia menemui sebuah artikel yang menceritakan mengenai penyakit Dermatografia.

Dermatografia atau penyakit lakaran kulit merupakan sejenis penyakit gatal-gatal yang disebabkan oleh permukaan kulit yang sensitif.

Menurut seorang pakar dari Persatuan Dermatologi Britain, Matthew Gass, keadaan tersebut berlaku apabila sel-sel di bawah permukaan kulit yang membebaskan histamin, iaitu sejenis bahan kimia yang dikeluarkan dalam badan sebagai tindak balas terhadap alahan, mengeluarkannya dalam jumlah yang sedikit.

Sarah Beal dermatografia [3]

"Akibatnya, kulit akan meninggalkan kesan bengkak terutamanya apabila tergores sesuatu. Namun, kesan tersebut akan hilang secara automatik kira-kira sejam kemudian.

"Kegatalan juga dikatakan kerap terjadi apabila kulit bergeseran dengan sesuatu objek seperti menggosok atau mengusap kulit. Kesan daripada tindak balas tersebut, kulit akan meninggalkan garis-garis kasar berwarna merah," jelasnya.

Ujarnya, jika keadaan tersebut berlaku, individu boleh mengambil ubat Anthihistamin bagi menghalang kesan histamin dan secara tidak langsung mengurangkan kegatalan dan ruam-ruam.

Menurut Sarah lagi, sebaik mengetahui keadaan tersebut, dia bertindak menguji kulitnya dengan melakar bentuk hati di tangan menggunakan sebatang sudu.

"Tidak lama kemudian, objek hati terbentuk di tangan saya dan ia membuatkan saya teruja.

"Walaupun kulit mula gatal-gatal dan sakit, tetapi saya rasa perkara unik telah berlaku kepada saya," tambahnya.

Histamin

Sarah Beal dermatografia [4]

Disebabkan terlalu teruja, Sarah memuat naik lakaran tersebut ke dalam akaun Facebook miliknya dan perkara itu mendapat pujian dalam kalangan rakan dan sanak saudara.

"Penyakit ini membuatkan saya alah kepada barang kemas seperti rantai dan gelang.

"Lebih membimbangkan kerana saya ada membela dua ekor anjing. Saya risau kerana cakaran anjing menyebabkan kulit saya bertambah teruk," katanya.

Dalam pada itu, Pakar Kulit Klinik Ko di Klang, Selangor, Dr. Ko Chung Beng berkata, keadaan tersebut merupakan perkara normal yang berlaku terhadap individu tanpa mengira umur.

Sarah Beal dermatografia [5]

"Penyakit ini tiada kaitan dengan keturunan atau alergi terhadap apa-apa jenis makanan kerana keadaan tersebut berlaku disebabkan oleh kekurangan pembebasan sel histamin di dalam kulit.

"Bagaimanapun, individu tidak perlu terlalu rungsing memandangkan kesan tersebut tidak berpanjangan dan akan hilang dalam tempoh yang singkat," katanya.

Tambah Chung Beng, Anthihistamin dan Steroin merupakan dua jenis ubat yang mampu memulihkan individu daripada penyakit tersebut.

"Buat masa ini tiada pembedahan yang dapat menyembuhkan penyakit tersebut sepenuhnya. Pesakit masih perlu bergantung kepada salah satu ubat tersebut jika mengalami kegatalan atau kesakitan yang melampau," katanya kepada Jurnal baru-baru ini.

[Sumber]

1 comment

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon