Wednesday, February 05, 2014

Selebriti Hollywood Yang Tinggalkan Ajaran Sainstologi


Sainstologi, di mana ia dianggap kultus oleh para pengkritiknya, ia merupakan satu anutan buat para pengikutnya.

Tom-Cruise_Sainstologi

Dalam masa yang sama, Sainstologi juga popular kerana menjadi pilihan beberapa selebriti terkemuka Hollywood, malah turut menubuhkan sebuah pusat buat mereka yang dikenali sebagai 'Scientology Celebrity Centre'.

Tom Cruise, John Travolta, Juliette Lewis, Isaac Hayes, Kirstie Alley, Catherine Bell, Nancy Cartwright, Beck, Doug E. Fresh, Kelly Preston, Elisabeth Moss, Erika Christensen, Jason Lee, Edgar Winter, Giovanni Ribisi, Jenna Elfman, Anne Archer, Chick Corea dan Julia Migenes merupakan antara para selebriti Hollywood yang menyertai gereja yang diasaskan oleh penulis sains fiksyen L. Ron Hubbard ini.

Namun begitu, sekalipun dengan semua pujian menggunung dari para pengikutnya (terutama sekali Tom Cruise) tentang Sainstologi, ramai yang membuat keputusan untuk meninggalkannya, termasuk para selebriti di bawah:

Leah Remini

Leah Remini Sainstologi

Pada pertengahan 2013, pelakon "King of Queens", Leah Remini mengejutkan ramai apabila dia mengumumkan pengundurannya dari gereja tersebut.

Leah, yang merupakan pengikut paling setia Sainstologi, malah dibesarkan dalam komuniti gereja tersebut, menjelaskan bahawa dia sudah tidak tahan lagi untuk membiarkan dirinya disoal siasat dan pemikirannya dipengaruhi pemimpin gereja tersebut, David Miscavige.

Semuanya bermula apabila Leah mempersoalkan tentang lokasi sebenar isteri Miscavige, Shelly, ketika berada di majlis perkahwinan Tom Cruise dan Katie Holmes pada tahun 2006.

Shelly Miscavige dikatakan tidak lagi dilihat sesiapa selama beberapa tahun star dan Leah Remini bimbang sesuatu telah berlaku kepadanya.

Namun bila ditanya, Miscavige melenting dan mengatakan Leah tiada hak untuk bertanya.

Hubungan pelakon tersebut dengan gereja Sainstologi menjadi semakin retak sejak itu dan Leah akhirnya memutuskan untuk meninggalkan komuniti yang menjadi sebahagian besar hidupnya.

Nicole Kidman

Nicole Kidman Sainstologi

Bekas isteri Tom Cruise ini menyertai Sainstologi kerana cintanya terhadap pelakon "Mission Impossible" tersebut, tapi membuat keputusan untuk meninggalkan Sainstologi selepas perceraian mereka pada tahun 2001.

Malah khabar angin mengatakan perpisahan mereka disebabkan Nicole, yang juga merupakan bekas penganut Katolik Rom meluahkan hasrat agar kedua-dua anak angkat mereka, Connor dan Isabella meninggalkan gereja tersebut.

Bila ditanya mengapa dia meninggalkan Scientology, Nicole enggan menjelaskannya secara umum kerana kedua-dua orang anaknya itu masih setia bersama gereja tersebut.

Katie Holmes

Katie Holmes Sainstologi

Seorang lagi bekas isteri Tom Cruise, Katie Holmes meninggalkan Sainstologi selepas berpisah dengan suaminya, malah menimbulkan kontroversi di kalangan penganut lain apabila dia cuba membebaskan anaknya, Suri dari gereja yang sama dengan mendapatkan hak penjagaan anak perempuannya itu.

Sekalipun dikatakan tidak tahan dengan cara gereja tersebut, pihak Sainstologi memberikan Tom Cruise layanan istimewa dengan membenarkan dia untuk terus berinteraksi dengan Katie dan Suri di luar gereja, sesuatu yang tidak diberikan kepada para penganut lain atas polisi 'disconnect' mereka – di mana penganut yang masih kekal tidak boleh berkomunikasi dengan ahli keluarga yang meninggalkan Sainstologi (atau dipanggil sebagai 'deserter').

Jason Beghe

Jason Beghe Sainstologi

Pelakon "G.I. Jane" ini merupakan antara 'deserter' yang paling vokal dalam menyuarakan tentangannya terhadap Sainstologi selepas meninggalkan gereja tersebut pada tahun 2007, 13 tahun selepas dia menjadi ahli.

Jason juga turut menghasilkan sebuah video di mana dia mengkritik dasar Sainstologi yang dianggap palsu dan boleh memusnahkan institusi kekeluargaan.

"Ia sangat berbahaya kepada kesihatan rohani, jasmani, mental, emosi dan perkembangan anda. Ia mencacatkan perkembangan anda sebagai seorang insan.

Kalau Sainstologi memang agama yang benar, memang teruk!" ujar Jason, yang turut muncul dalam temuramah program "Panorama" siaran BBC yang diacarakan wartawan terkemuka Britain, John Sweeney mengenai Sainstologi pada tahun 2010.

Lisa Marie Presley

Lisa Marie Presley Sainstologi

Bapanya Elvis Presley sejak awal lagi membenci Sainstologi, dan menuduh mereka sebagai agama palsu yang hanya mahukan wangnya. Tapi anak perempuannya Lisa Marie tetap menjadi sebahagian daripada gereja tersebut.

Tapi dia tidak kekal lama dan keluar pada tahun 2012. Jelas Lisa Marie, "Semakin lama, saya jadi semakin teruk dan mereka beri nasihat yang tidak baik buat saya. Hidup saya tak bertapak di bumi nyata jadinya. Mereka ragut jiwa saya, wang saya, dan segalanya."

Jika bapanya masih hidup, dia pasti akan berang kerana anak perempuannya menyertai gereja yang dibencinya, tapi mungkin juga lega kerana Lisa Marie akhirnya meninggalkan agama tersebut.

Nazanin Boniadi

Nazanin Boniadi

Pelakon jelita Nazanin Boniadi, yang popular dengan watak Nora dalam "How I Met Your Mother" pula meninggalkan Sainstologi disebabkan jelek dengan hukuman yang dikenakan ke atas ahli yang berbuat kesalahan.

Menurut majalah Vanity Fair, Boniadi membuat keputusan meninggalkan gereja tersebut selepas dia dihukum kerana keingkarannya.

Dia diarahkan untuk membasuh tandas dengan berus gigi, menggali lubang pada waktu malam dan membersihkan simen bilik mandi dengan asid.

Menurut khabar angin, dia juga pernah menjadi teman wanita Tom Cruise selama tiga bulan bermula November 2004 hingga Januari 2005 dalam percubaan Sainstologi untuk mencarikan isteri buat pelakon tersebut.

Jerry Seinfeld

Jerry Seinfeld Sainstologi

Pelawak terkemuka dengan sitkom titular "Seinfeld" ini mengakui bahawa dia pernah terbabit dalam Sainstologi buat seketika tetapi segera meninggalkannya.

"Saya ada mengambil kursus Sainstologi lebih kurang 30 tahun yang lalu," ujar Seinfeld, yang mengakui dia berhenti sebelum benar-benar terlibat secara mendalam kerana hanya berminat untuk mengetahui ideologinya, dan bukan keseluruhan gereja itu sendiri.

Paul Haggis

Paul Haggis Sainstologi

Pengarah dan produser Kanada ini meninggalkan Sainstologi pada tahun 2009 selepas 34 tahun bersama anutan tersebut, malah menulis kenyataan yang agak keras mengkritik gerejanya.

Dalam kenyataannya, pengarah "The Next Three Days" ini berkata, "Sekalipun gereja ini mengatakan yang mereka menyokong kebebasan dan hak kemanusiaan, ia turut disenaraikan sebagai sebuah institusi yang menyokong ketaksuban, tidak bertoleransi, menentang LGBT dan menggunakan taktik menakut-nakutkan. Saya malu kerana menunggu begitu lama untuk menyuarakan hal ini."

BACA INI JUGA: Pelakon Hollywood Yang Dipecat Dari Filem

Sumber: Tupai.com.my

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon