Kerana dendam dan tidak dapat menerima hakikat hubungan cinta terputus di tengah jalan, seorang lelaki bertindak menyebarkan gambar bogel dan video bekas teman wanitanya dalam keadaan mengaibkan sejak seminggu lalu.
Gambar hiasan.
Difahamkan, mangsa berusia 29 tahun yang bekerja di sebuah syarikat swasta di sini, memutuskan hubungan dengan bekas teman lelakinya sejak awal bulan ini kerana tidak tahan sikap panas barannya.
Tindakan wanita terbabit menolak permintaan kembali menjalinkan hubungan menyebabkan lelaki berusia 35 tahun itu berang dan menyebarkan gambar bogel mangsa di laman sosial.
Sumber berkata, mulanya mangsa tidak mengendahkan ugutan lelaki terbabit sehingga pada Rabu lalu dia menerima pesanan melalui WeChat dari seorang rakan yang ternampak gambar bogelnya dimuatkan dalam Facebook.
Lebih teruk, katanya, lelaki terbabit turut membuka sebuah lagi akaun Facebook untuk menyebarkan gambar bogel dan video lucahnya selain turut dimuatkan ke YouTube.
“Mangsa menghubungi lelaki itu, namun dia menafikan bertanggungjawab mengenai penyebaran gambar dan video lucah berkenaan.
“Temberang lelaki itu terbongkar apabila dia memarahi mangsa dan memaklumkan penyebaran gambar bogel dan video lucah sebagai balasan tindakannya memutuskan hubungan mereka,” katanya.
Berikutan itu mangsa ditemani seorang rakan membuat laporan di Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut, kelmarin. –myMetro Online