Friday, February 28, 2014

7 Perkara Ajaib Yang Menakjubkan


Menara Pisa, Tembok Cina, Candi Borobudur, Taj Mahal, Ka'bah, Menara Eiffel dan Piramid di mesir adalah keajaiban dunia yang kita kenali. Namun sebenarnya semua itu belum terlalu ajaib, kerana masih ada lagi tujuh keajaiban dunia yang lebih ajaib lagi.

Perkara Ajaib Yang Menakjubkan

Mungkin pembaca sekalian tertanya-tanya, keajaiban apakah itu?

1. Haiwan Berbicara di Akhir Zaman

Maha suci Allah yang telah membuat segala sesuatu berbicara sesuai dengan yang Ia kehendaki. Termasuk tanda-tanda kekuasaanya adalah ketika terjadi hari kiamat akan muncul haiwan melata yang akan berbicara kepada manusia sebagaimana yang dinyatakan dalam Al-Qur'an, surah An-Naml ayat 82,

"Dan apabila perkataan Telah jatuh atas mereka, kami keluarkan sejenis binatang melata dari bumi yang akan mengatakan kepada mereka, bahawa sesungguhnya manusia dahulu tidak yakin kepada ayat-ayat Kami".

Mufassir Negeri Syam, Abul Fida 'Ibnu Katsir Ad-Dimasyqiy berkomentar tentang ayat di atas, "Haiwan ini akan keluar di akhir zaman ketika rosaknya manusia dan mula meninggalkan perintah-perintah Allah dan ketika mereka telah mengganti agama Allah. Maka Allah mengeluarkan ke hadapan mereka haiwan bumi. Kononnya dari Mekah atau yang lain sebagaimana akan datang perinciannya. Haiwan ini akan berbicara dengan manusia tentang hal itu". [Lihat Tafsir Ibnu Katsir (3/49]

Haiwan misteri yang berbicara ini akan keluar di akhir zaman sebagai tanda akan datangnya kiamat dalam waktu yang dekat.

Nabi bersabda, "Sesungguhnya tidak akan tegak hari kiamat, sehingga kamu akan melihat sebelumnya 10 tanda-tanda kiamat: Gempa di Timur, gempa di barat, gempa di Jazirah Arab, Asap, Dajjal, haiwan bumi, Ya'juj dan Ma'juj, terbit matahari dari arah barat dan api yang keluar dari jurang Aden, akan menggiring manusia." [HR. Muslim dalam Shohih-nya (2901), Abu Daud dalam Sunan-nya (4311), At-Tirmidziy dalam Sunan-nya (2183), dan Ibnu Majah dalam Sunan-nya (4041)]

2. Pohon Kurma yang Menangis

Adanya pohon kurma yang menangis ini terjadi di zaman Rasulullah SAW, mengapa pokok ini menangis?

Kisahnya, Jabir bin Abdillah r.a berkata, "Jabir bin Abdillah r.a berkata: "Adalah dahulu Rasulullah SAW berdiri (berkhutbah) di atas sebatang kurma, maka tatkala diletakkan mimbar baginya, kami mendengar satu suara seperti suara unta dari pohon kurma tersebut hingga Rasulullah SAW turun kemudian beliau meletakkan tangannya di atas batang pohon kurma tersebut". [HR.Al-Bukhariy dalam Shohih-nya (876)]

Ibnu Umar r.a berkata: "Dulu Nabi SAW berkhuthbah pada batang kurma. Tatkala beliau telah membuat mimbar, maka beliau berpindah ke mimbar itu. Batang kurma itu pun merintih. Maka Nabi SAW mendatanginya sambil mengeluskan tangannya pada batang kurma itu (untuk menenangkannya)". [HR. Al-Bukhari dalam Shohih-nya (3390), dan At-Tirmidziy dalam Sunan-nya (505)]

3. Batu mengucap salam

Mungkin kalau seekor burung pandai mengucapkan salam adalah perkara yang sering kita temui. Tapi bagaimana jika sebuah batu yang mengucapkan salam.

Sebagai seorang hamba Allah yang mengimani Rasul-Nya, tentunya dia akan membenarkan seluruh apa yang disampaikan oleh Rasul-Nya, seperti pemberitahuan beliau kepada para sahabatnya bahawa ada seketul batu di Mekah yang pernah mengucapkan salam kepada beliau sebagaimana dalam sabdanya, dari Jabir bin Samurah dia berkata, Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya aku mengetahui seketul batu di Mekah mengucapkan salam kepadaku sebelum aku diutus, sesungguhnya aku mengetahuinya sekarang." [HR.Muslim dalam Shohih-nya (1782)].

4. Pengaduan Seekor unta

Manusia adalah makhluk yang mempunyai perasaan. Dari perasaan itu timbullah rasa cinta dan kasih sayang di antara mereka. Akan tetapi ketahuilah, bukan hanya manusia saja yang memiliki perasaan, malah haiwan pun memilikinya.

Oleh kerana itu sangat disesalkan jika ada manusia yang tidak memiliki perasaan yang membuatkan dirinya lebih rendah daripada haiwan.

Pernah ada seekor unta yang mengadu kepada Rasulullah SAW mengungkapkan perasaannya.

Abdullah bin Ja'far r.a berkata, "Pada suatu hari Rasulullah pernah membawa aku mengikut dibelakangnya. Kemudian beliau membisikkan tentang sesuatu yang tidak akan kuceritakan kepada seseorang di antara manusia. Sesuatu yang paling beliau senangi untuk dijadikan pelindung untuk membuang hajatnya adalah gundukan tanah atau kumpulan batang kurma. Lalu beliau masuk ke dalam kebun lelaki Ansar.

Tiba-tiba ada seekor unta. Tatkala Nabi SAW melihatnya, maka unta itu merintih dan bercucuran air matanya. Lalu Nabi mendatanginya seraya mengusap dari perutnya sampai ke pundaknya dan tulang telinganya, maka tenanglah unta itu. Kemudian beliau bersabda, "Siapakah pemilik unta ini?" Lalu datanglah seorang pemuda Anshar seraya berkata, "Unta itu milikku, wahai Rasulullah".

Maka Nabi bersabda: "Tidakkah engkau bertakwa kepada Allah dalam binatang ini, yang telah dijadikan sebagai milikmu oleh Allah, kerana ia (binatang ini) telah mengadu kepadaku bahawa engkau telah membuatkannya letih dan lapar". [HR. Abu Daud dalam As-Sunan (1/400), Al-Hakim dalam Al-Mustadrak (2/99-100), Ahmad dalam Al-Musnad (1/204-205), Abu Ya'la dalam Al-Musnad (3 / 8/1), Al-Baihaqiy dalam Ad-Dala'il (6/26), dan Ibnu Asakir dalam Tarikh Dimasyqa (9/28/1). Lihat Ash-Shahihah (20)]

5. Kesaksian Kambing Panggang

Kalau binatang yang masih hidup boleh berbicara adalah perkara yang ajaib, maka tentu lebih ajaib kalau ada kambing panggang yang berbicara. Ini memang pelik, akan tetapi benar-benar pernah terjadi.

Abu Hurairah r.a berkata: "Rasulullah SAW menerima hadiah dan tidak mahu makan sedekah. Maka ada seorang wanita Yahudi di Khoibar yang menghadiahkan kepada beliau kambing panggang yang telah dicampur racun.

Lalu Rasulullah pun memakan sebahagian kambing itu, dan kaum (sahabat) juga makan. Maka Nabi SAW bersabda, "Angkatlah tangan kalian, kerana kambing panggang ini mengkhabarkan kepadaku bahawa dia beracun".

Lalu meninggallah Bisyr bin Al-Baro 'bin Ma'rur Al-Anshoriy. Maka Nabi SAW menghantar (utusan membawa surat).

"Apa yang mendorongmu untuk melakukan perkara itu?"

Wanita itu menjawab, "Jika engkau adalah seorang nabi, maka apa yang aku telah lakukan tidak akan membahayakan dirimu. Jika engkau adalah seorang raja, maka aku telah melepaskan manusia darimu."

Kemudian Rasulullah SAW memerintahkan untuk membunuh wanita itu, maka dia pun dibunuh.

6. Batu yang Berbicara

Setelah kita mengetahui ada batu yang mengucapkan salam, maka keajaiban selanjutnya adalah adanya batu yang berbicara di akhir zaman.

Jika kita fikirkan, maka terasa pelik, tapi demikianlah seorang muslim harus mengimani berita yang disampaikan oleh Rasulullah, sama ada yang masuk akal, ataupun tidak. Kerana Nabi tidak pernah berbicara menurut hawa nafsunya, malah beliau berbicara berdasarkan tuntunan wahyu dari Allah Yang Mengetahui segala perkara ghaib.

Rasulullah bersabda: "Kamu akan memerangi orang-orang Yahudi sehingga seorang di antara mereka bersembunyi di balik batu. Maka batu itu berkata, "Wahai hamba Allah, Inilah si Yahudi di belakangku, maka bunuhlah ia". [HR. Al-Bukhari dalam Shohih-nya (2767), dan Muslim dalam Shohihnya (2922)]

Al-Hafizh Ibnu Hajar r.a berkata, "Dalam hadis ini terdapat tanda-tanda dekatnya hari kiamat, berupa berbicaranya benda-benda mati, pohon, dan batu. Lahiriahnya hadis ini (menunjukkan) bahawa benda-benda itu berbicara secara hakikat ". [Lihat Fathul Bari (6/610)]

7. Semut Memberi Arahan

Mungkin kita pernah mendengar cerita tentang haiwan-haiwan yang berbicara dengan haiwan yang lain. Semua itu hanyalah cerita rekaan belaka.

Tapi ketahuilah wahai para pembaca, sesungguhnya ada haiwan yang berbicara kepada haiwan yang lain, malah memberi arahan, seperti seorang komander pasukan yang memberikan perintah. Haiwan yang memberi arahan tersebut adalah semut.

Kisah ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Al-Qur'an, "Dan Sulaiman telah mewarisi Daud, dan dia berkata: "Hai manusia, kami telah diberi pemahaman tentang suara burung dan kami diberi segala sesuatu. Sesungguhnya (semua) ini benar-benar kurniaan yang nyata". Dan dihimpunkan untuk Sulaiman tenteranya dari jin, manusia dan burung lalu mereka diatur dengan tertib (dalam barisan). Hingga apabila mereka sampai di lembah semut, berkatalah seekor semut: Hai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak dipijak oleh Sulaiman dan tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari. Maka dia (Sulaiman) tersenyum dengan tertawa kerana (mendengar) kata-kata semut itu.

"Dan dia berdoa: "Ya Tuhanku berilah Aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang Telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang tuaku dan untuk mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan masukkanlah Aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh." (QS.An-Naml: 16-19).

Inilah beberapa perkara yang lebih layak dijadikan "Tujuh Keajaiban Dunia" yang lebih menggemparkan, dan mencengangkan seluruh manusia.

Orang-orang beriman telah lama meyakini dan mengimani perkara-perkara ini sejak zaman Nabi SAW hinggalah sekarang.

Namun, kebanyakan manusia tidak mengetahui perkara-perkara itu. Oleh itu, kami berkongsi informasi ini disini untuk mengingatkan kembali, dan menanamkan akidah yang kukuh di hati kaum muslimin.

BACA INI JUGA: 7 Keajaiban Sebenar Dunia Yang Kita Lupakan

-Sentiasapanas.com

2 comments

  1. Assalammulaikum.. sentiasa panas,

    perkara di atas nie memang pelik di fikirkan .. tp bagi Allah tiada pelik..kan.

    mselim3

    pls: xper sentiasa panas.. mselim3 memahami.

    ReplyDelete
    Replies
    1. W'salam, inilah keajaiban yang umat Islam sendiri tidak menyedarinya..

      Delete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon