Thursday, January 16, 2014

Penemuan 10 Spesies Haiwan Terbaharu 2013


Tahun 2013 membawa sinar baharu kepada para saintis alam sekitar kerana menemui beberapa spesies baharu dan unik. Ia membuka jalan kepada kajian yang lebih mendalam mengenai hidupan-hidupan pelik tersebut agar dapat dimanfaatkan pada generasi seterusnya.

Antara penemuan yang menarik perhatian ialah mentadak yang menyerupai bunga orkid, cicak berhidung panjang dan lintah berwarna merah jambu. Berikut 10 penemuan spesies baharu yang dicatatkan oleh laman web National Geographic.

Labah-labah spesies Cyclosa

Cyclosa by Phil Torres

Ahli Biologi Hidupan Liar, Phil Torres menemui spesies baharu labah-labah di hutan Amazon ketika membuat kajian di Pusat Penyelidikan Tambopata, Peru. Berukuran 5 milimeter, labah-labah itu dipercayai daripada keluarga Cyclosa, mempunyai teknik helah tersendiri bagi mengelak serangan musuh.

Menurut Torres, haiwan tersebut membuat sarang lima kali lebih besar daripada saiznya sebagai umpan dan sebagai perlindungan daripada musuh. Selain itu, ia akan menyelaputi badan dengan sejenis lendiran membuatkannya kelihatan seperti bangkai serangga yang tergantung di sarang tersebut.

Blobfish haiwan paling hodoh

Blobfish The Ugliest Animal

Tinggal dalam kedalaman laut 600 hingga 1,200 meter, ikan Blobfish banyak terdapat di luar pantai Australia. Ia boleh membesar sehingga 30 sentimeter panjang dan tidak mempunyai sebarang otot, membuatkan wajahnya kelihatan lembik.

Haiwan seperti agar-agar itu menjadi maskot terbaharu kepada Persatuan Perlindungan Haiwan Hodoh berdasarkan undian yang dilakukan dalam laman web kumpulan itu.

Timun laut gergasi

Parastichopus californicus (Timun laut gergasi)

Para saintis menemui satu spesies timun laut gergasi yang menggunakan bahagian anus sebagai mulut keduanya. Ia dinamakan Timun Laut California atau Parastichopus californicus yang hidup di laut cetek di luar pantai Pasifik Amerika Utara.

Ia bernafas dan makan menggunakan anus kerana tidak mempunyai paru-paru dan bergantung kepada sistem pernafasan tersendiri iaitu satu set tiub panjang yang terdapat pada tubuhnya. Tiub itu mempunyai rongga dengan mulut dan anus terletak pada penghujung badan.

Berukuran 50 sentimeter panjang, spesies ini sentiasa bergerak aktif. Ia boleh mengepam tiga hingga empat cawan air dalam masa sejam melalui anus. Seterusnya memindahkan oksigen ke bahagian sistem pernafasan untuk kegunaan sel-sel dalaman.

Lintah berwarna merah jambu

Triboniophorus aff. graeffei (Lintah merah jambu)

Spesis lintah berwarna merah jambu ditemui di pergunungan Kaputar, Australia yang berukuran 20 sentimeter panjang dengan nama saintifiknya, Triboniophorus aff. graeffei. Menurut renjer Perkhidmatan Hidupan Liar dan Taman Negara Australia, Michael Murphy, haiwan berwarna menarik itu mempunyai spesies yang tersendiri.

“Berdasarkan kajian morfologi dan genetik yang dijalankan oleh pengkaji, lintah ini berasal daripada keluarga Athorcophoridae dan merupakan spesies asli yang hanya terdapat di Gunung Kaputar,” ujarnya.

Cicak berhidung panjang

Anolis proboscis (Pinocchio)

Reptilia berhidung panjang yang disangka telah pupus ditemui semula di hutan Ecuador. Dinamakan cicak Pinocchio atau nama saintifiknya, Anolis proboscis dijumpai oleh jurugambar, Alejandro Arteaga.

“Penemuan ini tidak disangka kerana saya beranggapan cicak berhidung panjang hanyalah sekadar mitos,” ujarnya. Para pengkaji mendapati hidungnya yang panjang itu mempunyai struktur fleksibel.

Pertama kali ditemui pada tahun 1953, ia dipercayai semakin pupus sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Saintis hanya berjaya menyimpan enam spesimen yang kesemuanya berjantina jantan.

Babi hutan terbesar ditemui di Uganda

Rafael Reyna-Hurtado - Giant Pig

Seekor babi hutan seberat 275 kilogram yang ditemui di Taman Negara Kibale, Uganda menjadi spesies terberat yang pernah dijumpai setakat ini. Ia mempunyai badan berwarna hitam berduri, pipi bertanduk tajam dan saiznya 2 meter panjang.

Ia ditemui oleh penjelajah National Georgaphic, Rafael Reyna-Hurtado bersama sekumpulan ahli ekologi.

Reyna-Hurtado menjalankan kajian mengenai habitat haiwan tersebut yang bakal merungkai beberapa misteri seperti cara pemakanan, tempat tinggal, komunikasi antara habitat dan beberapa perkara berkaitan.

Tikus kasturi dengan tulang belakang kuat

Scutisorex thori (Tikus kasturi)

Di Republik Demokratik Congo, saintis menemui spesies baharu tikus kasturi, Scutisorex thori yang mempunyai tulang belakang yang kuat. Ia merupakan sejenis mamalia pemakanan serangga yang mempunyai ekor sederhana panjang, mata kecil, muncung panjang dan tirus, gigi kecil yang banyak dan tajam serta telinga kecil.

Menurut Pengarah koleksi dan zoologi di Muzium Chicago, Bill Stanley, spesies yang hampir sama ditemui pada tahun 1910 iaitu S. Somereni turut mempunyai tahap ketahanan tulang belakang yang hebat berbanding hidupan mamalia lain.

Pada kebiasaannya, hidupan mamalia mempunyai lima vertebra yang menjadi asas kepada tulang belakang. Namun, tikus tersebut mempunyai 10 hingga 11 vertebra yang memberikan ketahanan tinggi pada tubuhnya.

Olinguito ditemui di Colombia

Olinguito

Sekumpulan saintis yang melakukan kajian di Hutan Simpan La Mesenia, Colombia menemui sejenis mamalia kecil iaitu olinguito. Ia merupakan spesies baharu yang dicatatkan pada Ogos tahun lepas. Mereka mengesahkan ia merupakan spesies karnivor pertama yang dijumpai di Hemisfera Barat selepas lebih tiga dekad.

Ia mempunyai saiz kecil dan kuku tajam bagi memudahkan memanjat pokok untuk mencari makanan dan dijadikan tempat tinggal. Selama ini, Olinguito bersembunyi di sebalik dahan-dahan pokok.

Mentadak seperti bunga orkid

Mentadak orkid

Dua orang saintis iaitu James O’Hanlon dan Marie Herberstein dari Universiti Macquarine, Australia dan Gregory Holwell dari Universiti Auckland, New Zealand telah berkunjung ke Malaysia untuk mencari mentadak orkid.

Sepanjang pencarian itu, mereka menjumpai beberapa jenis mentadak yang melakukan penyamaran persekitaran, tetapi tiada yang melakukan pertukaran sebaik mentadak orkid.

Ia melakukan penyamaran bagi memudahkan menangkap mangsa yang hinggap pada kuntuman bunga orkid.

Serangga kecil berambut panjang

Trond Larsen - Juvenile-hopper

Trond Larsen yang melakukan ekspedisi biologi di pergunungan tenggara Surinam menemui satu serangga unik yang mempunyai rambut panjang berwarna jernih.

Ia sukar untuk ditangkap kerana berkemampuan melompat pantas dengan tubuh kecil berukuran 5 milimeter. Disebabkan itu juga, Larsen tidak berkesempatan untuk mengambil spesimen sebagai bahan rujukan dan perbandingan dengan spesies lain. -Kosmo

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon