Wednesday, January 29, 2014

Misteri Tragedi Kapal SS Ourang Medan


INFO MISTERI. Pada bulan Februari 1948, keadaan cuaca di Selat Melaka begitu sempurna. Tidak ada sebarang gangguan alam dan keadaan ombak cukup tenang.

SS Ourang Medan

Namun, kesempurnaan itu dikejutkan oleh satu isyarat SOS yang datang secara tiba-tiba. Ia adalah isyarat kecemasan yang dikirim daripada sebuah kapal kargo milik Belanda, SS Ourang Medan.

Beberapa buah kapal yang melalui Selat Melaka telah menerima isyarat tersebut melalui sistem radio mereka. Antaranya, kapal City of Baltimore dan Silver Star dari Amerika Syarikat.

Dalam keadaan sayup-sayup dihujung radio, kedengaran satu suara panik yang membuatkan sesiapa saja yang mendengarnya terdiam seketika.

Diantara dua buah kapal dagang itu, hanya Silver Star yang dapat menentukan arah koordinat SS Ourang Medan dengan tepat. Kapten kapal kemudian segera memerintahkan anak-anak kapalnya bergerak menuju ke lokasi SS Ourang Medan.

Belum sempat tiba ke lokasi kejadian, kapal Silver Star menerima satu lagi pesanan kod morse diikuti oleh satu teriakan di hujung radio. Kemudian, suasana bertukar menjadi hening.

Apa yang kedengaran hanyalah bunyi gemersik radio yang tidak keruan. Daripada isyarat itu, krew kapal Silver Star dapat mengagak satu tragedi telah menimpa kapal SS Ourang Medan.

Dalam masa hampir dua jam, kapal Silver Star sampai ke lokasi koordinat yang dituju. Mereka berhenti agak jauh daripada SS Ourang Medan untuk memerhatikan apa yang sebenarnya telah berlaku.

Satu isyarat komunikasi telah dihantar ke kapal tersebut namun tiada sebarang isyarat diterima sama ada melalui radio mahupun bendera.

Disebabkan tiada respon diterima, sepasukan kelasi telah dihantar untuk meninjau keadaan kapal SS Ourang Medan dengan lebih dekat. Bot yang membawa pasukan peninjau itu bergerak secara perlahan-lahan menuju ke kapal berkenaan.

Dari jauh, mereka tidak dapat melihat sebarang pergerakan di atas kapal. Namun, di bahagian lambungan terdapat beberapa ekor ikan yu yang sedang berenang ke hulu ke hilir. Kemunculan ikan-ikan yu itu menandakan bahawa terdapat mayat di atas kapal berkenaan.

Setibanya di atas kapal tersebut, pasukan peninjau telah menyaksikan satu situasi yang amat menggerunkan. Mereka melihat mayat-mayat bergelimpangan di atas dek kapal.

Pasukan peninjau kemudiannya menuju ke ruang kemudi untuk mencari kapten kapal SS Ourang Medan.

Sebaik sahaja mereka memasuki ruang berkenaan, pasukan peninjau mendapati kapten serta beberapa orang krew kapal sudah tidak bernyawa. Mayat-mayat terbaring kaku, sementara diruang radio pula, petugas telegraf terkulai di atas peralatannya yang sudah tidak berfungsi.

Situasi itu menunjukkan seolah-olah kapten kapal tersebut telah mengumpulkan anak-anak kapal untuk berbincang mengenai sesuatu sebelum mereka semua meninggal dunia.

Bagaimanapun, apa yang mengerikan ialah mimik muka ketakutan yang jelas kelihatan pada setiap wajah mayat yang ditemui.

Kesemua mayat berkeadaan pucat dengan mata terbuntang luas. Gigi mereka terkacip rapat manakala wajah mereka terarah ke langit.

Kemudian, beberapa mayat pula ditemui dengan keadaan tangan mengacung ke atas. Malah, bangkai seekor anjing yang ditemui di bawah dek juga berada di dalam keadaan yang sama. Keadaan mayat menunjukkan seolah-olah nyawa mereka melayang ketika sedang berhadapan dengan sesuatu yang sangat menakutkan.

Pasukan peninjau kemudian memeriksa keseluruhan kapal. Mereka tidak menemui sebarang tanda-tanda kerosakan. Keadaan tubuh badan mayat yang bergelimpangan juga tidak mengalami sebarang luka mahupun sebarang kecederaan luaran.

Ini menunjukkan tragedi berkenaan bukannya angkara lanun. Jadi, apa sebenarnya yang telah terjadi?

Belum sempat penyiasatan menyeluruh dijalankan, satu lagi kejadian misteri telah berlaku. Kargo yang ada di atas kapal secara tiba-tiba terbakar. Api menjalar dengan pantas dan memusnahkan hampir keseluruhan ruangan kargo SS Ourang Medan.

Pasukan peninjau bertempiaran menyelamatkan diri menggunakan bot kecil mereka dan hanya dalam tempoh masa yang singkat, SS Ourang Medan meletup! Letupan itu telah menggegarkan Selat Melaka dan boleh didengar sejauh empat batu nautika.

Dari kejauhan, pasukan peninjau dapat melihat kapal SS Ourang Medan terbakar dan tenggelam perlahan-lahan ke dasar laut. Ia tenggelam bersama misteri yang baru sahaja mereka saksikan.

Kisah misteri mengenai tragedi kapal SS Ourang Medan telah didedahkan kepada umum melalui jurnal bertajuk Proceedings Of The Merchant Council yang diterbitkan oleh US National Coast Guard pada tahun 1953.

Bagaimanapun, beberapa orang penyelidik mendapati terdapat perkara pelik mengenai tragedi ini. Selain daripada penerbitan ini, tidak ada sebarang data atau dokumen rasmi yang boleh dikaitkan dengan kapal berkenaan. Dengan kata lain, kapal itu dikatakan tidak pernah wujud!

Sebahagian individu percaya US National Coast Guard telah mencipta satu kisah khayalan mengenai SS Ourang Medan. Bagaimanapun, beberapa orang penyelidik terus menjalankan penyiasatan untuk memastikan kebenaran kisah ini.

Antaranya, seorang ahli sejarah Roy Bainton dan seorang pakar akademik maritim dari Jerman, Profesor Dr. Theodor Siersdorfer Essen.

Kedua-dua penyelidik itu cuba untuk mencari data mengenai SS Ourang Medan, tetapi mereka menemui jalan buntu. Di dalam Kamus Bencana Laut 1824-1962 juga tidak ditemui sebarang dokumen yang berkaitan dengan kapal SS Ourang Medan.

Namun, di dalam pencarian itu mereka akhirnya menemui satu artikel dari Jerman karangan Otto Mielke yang menyebut tentang peristiwa ini. Justeru, kedua-dua penyelidik itu mengandaikan SS Ourang Medan sememangnya benar-benar wujud.

Bainton dan Dr. Theodor berpendapat kemungkinan besar SS Ourang Medan adalah sebuah kapal penyeludupan. Disebabkan itulah tiada sebarang rekod rasmi mengenai kapal ini.

Mereka berpendapat yang kapal kargo ini berkemungkinan membawa muatan berupa bahan kimia yang berbahaya. Dan kebocoran bahan kimia itu dikatakan telah menjadi punca kematian anak-anak kapal SS Ourang Medan.

Bagaimanapun, ia hanyalah teori semata-mata. Kebenaran mengenainya tidak dapat dipastikan dan sehingga ke hari ini, tragedi SS Ourang Medan terus kekal misteri!

BACA INI JUGA: Misteri Kapal-kapal Yang Hilang Di Segitiga Bermuda

-SENTIASAPANAS.COM

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon