Saturday, January 11, 2014

Memori Terhangat Bollywood 2013


2013 merupakan ulangtahun ke 100 dunia perfileman Bollywood. 2013 juga menyaksikan pelbagai kejayaan, kegagalan, pertemuan, perpisahan, kelahiran dan kematian.

Antara yang terhangat di dunia Bollywood 2013;

Misteri bunuh diri Jiah Khan

Misteri bunuh diri Jiah Khan

Pada 3 Jun lalu, Bollywood dikejutkan dengan kematian pelakon "Ghajini", Jiah Khan yang ditemui mati di pangsapurinya di Juhu. Kes tersebut kemudiannya disahkan sebagai kes bunuh diri.

Namun begitu, ibunya Rabiya tidak mahu mempercayainya dan ketekadannya itu disebabkan oleh sepucuk surat tulisan pelakon tersebut yang ditemui saudara perempuan Jiah pada 7 Jun, di mana isinya menjelaskan bahawa Jiah memang berniat membunuh diri dan menyebut tentang kehamilan yang telah digugurkannya.

Pada 10 Jun, anak lelaki Aditya Pancholi, Suraj yang merupakan teman lelaki Jiah, telah ditahan polis untuk sesi soal siasat dan hanya dibebaskan oleh mahkamah pada bulan Julai atas ikat jamin. Sehingga kini, Rabiya masih yakin bahawa anaknya telah 'dibunuh' dan kes tersebut masih belum selesai.

Pran meninggal dunia

Pran meninggal dunia

Bintang veteran Bollywood terkemuka, Pran Sikhand (lebih dikenali sebagai Pran), yang terkenal dengan watak-watak antagonis dalam filem-filem seperti "Zanjeer", "Upkar" dan "Madhumati" meninggal dunia pada 12 Julai pada usia 93 tahun, meninggalkan kesan mendalam terhadap dunia perfileman Bollywood. Para selebriti termasuk Anupam Kher, Karan Johar, Jackie Schroff, Amitabh Bachchan dan yang lain-lain turut hadir ke upacara terakhirnya.

Selain Pran, beberapa pemain utama dunia perfileman Bollywood turut menghembus nafas terakhir. Penyanyi Shamshad Begum, antara penyanyi latar pertama Bollywood meninggal dunia pada 23 April, penyanyi prolifik Manna Dey meninggal dunia pada bulan Oktober, manakala kematian pelakon legenda Farooq Sheikh pula mengejutkan ramai apabila dia meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung pada 27 Disember lalu.

Sanjay Dutt kembali ke penjara

Sanjay Dutt kembali ke penjara

Sanjay Dutt, yang sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan memiliki senjata haram yang dibeli daripada para penjenayah yang terlibat dalam pengeboman di Mumbai pada tahun 1993 (yang mengorbankan 257 nyawa).

Selepas menghabiskan 18 bulan di penjara pada tahun 1995, dan dikenakan hukuman enam tahun penjara pada tahun 2007, Mahkamah Agung India akhirnya memutuskan untuk menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atasnya pada Mac 2013. Selepas bermain tarik tali dengan pihak mahkamah, Dutt akhirnya menyerah diri pada Mei 2013.

Salman Khan dibicarakan semula

Salman Khan dibicarakan semula

Seorang lagi bintang yang berdepan dengan hukuman penjara, Salman Khan yang sebelum ini terselamat apabila kes langgar larinya pada tahun 2002 digugurkan oleh Mahkamah Majistret, mendapati dirinya berdepan dengan kes yang sama pada Julai 2013 apabila Mahkamah Tinggi membuka semula kes tersebut. Jika didapati bersalah, Salman boleh dihukum penjara 10 tahun.

Pada September 2002, Salman Khan telah terlibat dalam kes langgar lari apabila kereta yang dipandunya melanggar sebuah bakeri di Mumbai dan menyebabkan kematian seorang gelandangan manakala tiga lagi tercedera.

Pada bulan November, wakil guaman Salman merayu agar mahkamah mengadakan perbicaraan baru untuk kes tersebut tetapi ditentang pihak pendakwa yang menganggap itu cuma percubaan Salman untuk menangguhkan perbicaraan. Rayuan tersebut diterima dan perbicaraan bakal dimulakan Januari 2014.

Hrithik Roshan dan isteri bercerai

Hrithik Roshan dan isteri bercerai

Pasangan romantis Hrithik dan Suzanne sekali lagi mengejutkan ramai pada Disember 2013, apabila pelakon tersebut mengumumkan bahawa isterinya yang dikahwini selama 13 tahun itu telah memutuskan untuk berpisah.

Sekalipun desas-desus mengatakan perceraian tersebut disebabkan skandal Hrithik dengan model Barbara Mori dan hubungan antara Suzanne dan pelakon Arjun Rampal, kedua-dua pihak telah menafikan hal tersebut dan enggan berkongsi punca perpisahan mereka.

Hrithik dan Suzanne sebelum ini merupakan antara pasangan suami isteri yang paling diraikan di Bollywood. Dalam temuramahnya sebelum ini, Hrithik mengatakan yang dia mengenali Suzanne sejak dia berusia 12 tahun dan sudah lama jatuh cinta kepada anak pelakon Sanjay Khan tersebut. Mereka dikurniakan dua orang anak, Hrehaan dan Hridhaan.

SRK dan Salman berbaik semula

SRK dan Salman berbaik semula

Keajaiban Ramadhan? Pada bulan puasa lalu yang jatuh pada bulan Julai, Bollywood kecoh dengan khabar bahawa Salman Khan dan Shahrukh Khan telah menamatkan konfik mereka bertahun lamanya di dalam majlis berbuka puasa yang diadakan oleh pemimpin Kongres, Baba Siddique.

Dalam foto yang menjadi muka depan kebanyakan majalah dan akhbar cetak dan internet keesokan harinya, Salman dilaporkan terlebih dahulu menghulur tangan sekaligus memeluk pelakon "Chennai Express" tersebut.

Keesokan harinya, SRK menulis di Twitter, "Akhirnya, anda sedar bahawa perasaan yang paling indah adalah bila anda membuka lembaran baru, kerana ada banyak lagi isi dalam buku tersebut berbanding muka surat yang sama."

SRK dan isteri sambut AbRam

SRK dan isteri sambut AbRam

Pada bulan Julai, Shahrukh Khan dan isterinya Gauri menyambut kehadiran seorang lagi ahli baru keluarga mereka, seorang bayi lelaki yang diberi nama AbRam yang dilahirkan melalui kaedah ibu tumpang

Namun begitu, kegembiraan tersebut dicemari tuduhan bahawa SRK dan isterinya telah membuat ujian penentuan jantina terlebih dahulu kerana mahukan seorang anak lelaki, sekalipun dinafikan pasangan tersebut.

AbRam merupakan anak ketiga pasangan tersebut yang sudah pun memiliki dua orang anak, Aryan, 16, dan Suhana, 13.

"The Good Road" tewaskan "The Lunchbox"

"The Good Road" tewaskan "The Lunchbox"

Bollywood kecoh seketika apabila Persekutuan Filem India (FFI) memilih filem arahan Gyan Arora, "The Good Road" sebagai wakil India untuk kategori Filem Asing Terbaik Anugerah Academy. Pemilihan tersebut mendatangkan kemarahan ramai apatah lagi bila sebuah lagi filem, "The Lunchbox" arahan Riteish Batra sebelum ini telah menerima banyak pujian para pengkritik filem antarabangsa dan memenangi banyak anugerah. Malah "The Lunchbox" juga dikatakan lebih berkemungkinan untuk masuk ke pusingan lima terakhir Oscar kerana turut didukung oleh Sony Pictures yang dipercayai boleh membantu dalam melobi pihak Oscar.

Antara yang vokal menunjukkan rasa tidak puas hati adalah penerbit Karan Johar dan Anurag Kashyap. Malah Kashyap turut menunjukkan protesnya dengan mengumumkan yang dia mahu bersara seketika dari industri perfileman.

Malangnya, "The Good Road" tidak berjaya membuktikan bahawa ia pilihan terbaik apabila gagal melepasi pusingan semi-final kategori Filem Asing Terbaik Oscar ketika ia diumumkan Disember lalu, jadi ada kemungkinan Karan Johar dan Anurag Kashyap bertambah bengang!

Ranbir dan Katrina bercuti bersama

Ranbir dan Katrina bercuti bersama

Protagonis generasi baru Bollywood, Ranbir Kapoor dan bintang seksi Katrina Kaif sudah lama digosipkan bercinta, sejak hubungan Ranbir dan Deepika Padukone berakhir pada tahun 2008 dan hubungan Katrina dengan Salman Khan pula putus pada tahun 2010. Namun kedua-duanya enggan membincangkan gosip tersebut dan bersikap mendiamkan diri.

Namun begitu, khabar angin tersebut terbukti nyata apabila gambar kedua-duanya sedang bercuti di Ibiza, Sepanyol diterbitkan di taboid "Stardust" pada Ogos lalu.

Rumah Sridevi terbakar

Rumah Sridevi terbakar

Pada 22 Disember, rumah kediaman aktres Sridevi dan suaminya Boney Kapoor di Andheri mengalami kebakaran yang berpunca daripada litar pintas di biliknya. Ketika kejadian berlaku, Sri, anak-anak perempuannya berserta ibu mertuanya berada di rumah.

Disebabkan kebakaran yang memusnahkan sebahagian daripada asetnya, Boney Kapoor membawa keluarganya berpindah ke sebuah hotel sementara hal tersebut diuruskan. Namun begitu, mereka terus berpindah randah dari satu hotel ke hotel yang lain kerana tidak menemui tempat tinggal yang cukup baik untuk didiami.

Selepas mendengar tentang masalah Sri dan keluarganya, pelakon dan pengarah Prabhu Deva, yang selama ini menyewa di pangsapuri milik Sridevi di Andheri, membuat keputusan untuk berpindah keluar agar Sri boleh tinggal semula di rumah miliknya sendiri. Namun begitu, disebabkan Prabhu sendiri tidak memiliki rumah sendiri di Mumbai, dia terpaksa pulang seketika ke Chennai sementara teman-teman yang lain mencarikannya tempat tinggal yang baru.

Sumber: Tupai.com.my

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon