Sunday, December 22, 2013

'Selfie', Obses Terhadap Diri Sendiri


Bukan isu besar kalau kita perhatikan ramai remaja tak kiralah sama ada si gadis atau si jejaka suka tangkap gambar sendiri pada zaman sekarang.

'Selfie'
Gambar hiasan.

Apatah lagi cabang media sosial yang semakin banyak membuatkan mereka semakin obses untuk tonjolkan diri sendiri dalam kalangan rakan lain.

Perempuan terkenal dengan sikap yang suka cantik dan sedikit menunjuk-nunjuk sekiranya penampilan terlebih cantik pada hari tertentu.

Oleh itu, sikap ini secara tak langsung akan membuatkan mereka cuba berkongsi kegembiraan dengan rakam gambar sendiri untuk dimuat naik di laman sosial.

Bagaimanapun, lain pula kisahnya turut terkena tempias tabiat ini. Lelaki yang terkenal dengan sikap ‘macho’, ego dan tegas juga tidak dapat tahan diri daripada tidak ‘selfie’.

Tarikannya terlalu kuat hingga mampu buatkan golongan ‘control macho’ turut tergolong dalam kelompok ini.

Sukar dimengerti

Selfie adalah singkatan kepada gabungan perkataan potret diri sendiri (self-potrait). ‘Selfie’ juga merujuk kepada perbuatan suka mengabadikan gambar sendiri yang ditangkap tanpa bantuan orang lain.

Perbuatan ini bukanlah dikategorikan sebagai salah, tetapi apabila semakin ramai yang gemar ‘selfie’ walau di tempat tak sepatutnya, ia agak menjengkelkan.

Tabiat suka tangkap gambar sendiri ini ibarat virus kerana sudah merebak kepada semua golongan. Tak kiralah, anak gadis, mak cik, pak cik, ibu bapa atau saudara-mara, gambar ‘selfie’ boleh dikatakan wajib ada dalam akaun laman sosial masing-masing.

Tak keterlaluan jika penulis berpendapat, ‘selfie’ boleh dikategorikan sebagai tabiat yang sukar dimengertikan. Sehingga ke hari ini, bukan saja wanita yang mahu tonjolkan penampilan dan paras rupa seharian, tetapi kaum lelaki juga tidak mahu ketinggalan malah ada di antaranya lebih obses berbanding wanita.

Depan cermin

Diakui, melihat gambar ‘selfie’ yang dimuat naik di laman sosial membuatkan penulis tertanya-tanya, kenapa perlu rakam gambar sendiri di tempat tak sepatutnya?

Sebagai contoh, banyak gambar ‘syok sendiri’ ini boleh dikatakan dengan ‘pose’ di depan cermin.

Mungkin pantulan imej daripada cermin boleh menampakkan seluruh tubuh pemilik kamera, sekali gus tercapai hasrat untuk berkongsi penampilan harian dengan rakan lain.

Jika itu sebabnya, ia boleh difahami, tetapi apabila si ‘selfie’ terlalu aktif hingga tidak boleh bezakan lokasi mungkin akan buatkan dia kelihatan seperti obses dengan rupa paras sendiri.

Bergaya dan menangkap gambar di depan cermin adalah budaya baru dan ibarat lokasi wajib untuk ‘selfie’. Paling banyak dilihat adalah ‘selfie’ di depan cermin tandas awam berbanding rumah sendiri.

Kenapa perlu tandas awam? Faktor cermin yang besar hingga menampakkan keseluruhan tubuh membuatkan ia jadi pilihan ramai. Jangan menuding jari kepada satu golongan saja, si jejaka juga tak kurang hebatnya.

Antara lokasi lain yang menjadi pilihan termasuklah dalam kereta, di tempat kerja, atas katil sebelum tidur atau di kedai makan.

‘Duckface’

‘Duckface’ merujuk kepada pose memuncungkan mulut seperti itik. Dengan bibir yang dimuncungkan, ada beranggapan ia boleh menampakkan tulang pipi sekali gus membuatkan wajah si ‘selfie’ kelihatan berbentuk bujur dan tidak terlalu bulat.

Mungkin faktor itulah membuatkan gaya ini menjadi ‘trademark’ si gadis apatah lagi apabila bibir diwarnakan dengan gincu warna terang. Cukup menggoda! Jangan terkejut apabila ada juga lelaki sukakan gaya ini apatah lagi apabila ‘selfie’ beramai-ramai dengan rakan wanita.

Selain posisi biasa, gaya rakam gambar daripada sisi atas kepala juga antara pilihan. Dipercayai, ia boleh buatkan wajah seseorang khususnya berbentuk bulat kelihatan muncung tirus selain boleh sembunyikan lemak di bawah dagu.

Gaya ini bukanlah bertujuan untuk memburukkan sesiapa terutama golongan berbadan besar tetapi pandangan ini dikongsi melalui forum dan blog yang menceritakan mengenai isu ini.

Obses diri sendiri

Itu tanggapan sesetengah individu yang tak gemar ‘selfie’. Bagi mereka, sesiapa yang suka rakam gambar sendiri lebih kepada masalah syok sendiri. Obses dengan rupa paras dan penampilan diri hingga terlalu yakin untuk berkongsi dengan orang ramai.

Obses di sini merujuk kepada mereka yang terlalu aktif ‘selfie’ hinggakan dalam satu hari, lebih lima gambar ‘selfie’ dimuat naik di laman sosial hingga membuatkan orang mula menyampah.

Hakikatnya ramai gadis cantik dan jejaka tampan turut obses dengan ‘selfie’ contohnya seperti selebriti atau ‘public figure’ lain.

Oleh kerana mereka mempunyai ribuan peminat, keadaan kadang-kala mendesak mereka untuk muat naik gambar sendiri kerana tidak mahu mengecewakan peminat.

Itu kisah selebriti, bagi orang biasa pula, apa nak dikisahkan dengan pandangan orang asalkan anda buat perkara yang boleh membahagiakan anda, sudah memadai.

Walaupun ramai beranggapan ‘selfie’ adalah perbuatan syok sendiri tetapi dari segi positifnya, lebih baik obses dengan diri sendiri daripada obses dengan orang lain yang jelas tiada faedahnya.

Teruskan ‘selfie’ dan pedulikan pandangan sinis orang lain walaupun ketika anda sedang ‘selfie’ beramai-ramai di tepi jalan!

BACA INI JUGA: 'Selfie' Gaya Mulut Dimuncungkan Lebih Ramai Peminat!

Sumber: Harian Metro

2 comments

  1. selfe..
    pling byak ambik kat tandas la..
    trend kot?

    ReplyDelete
  2. tambahan dgn medium sosial media mcm insta.
    lg ramai la suka selfpic sendiri :)

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon