Sunday, December 15, 2013

Luarbiasa! Mayat Pelajar Lemas ‘Muncul’ Selepas Si Ibu Berdoa!


“Hanif, mak datang, timbul Hanif, timbul Hanif,” seru Tuminah Taib, 54, sebelum mayat anak lelakinya, Muhammad Hanif Jainuri, 18, timbul di permukaan laut selepas hilang dalam tragedi lemas berdekatan Gua Teluk Bidara, dekat sini pagi kelmarin.

Doa Seorang Ibu

Usaha mencari mangsa oleh pasukan penyelamat sejak jam 9.30 pagi kelmarin menemui jalan buntu susulan ombak besar dan arus kuat di pantai berdekatan gua itu, namun mangsa seolah-olah ‘menunggu’ kehadiran ibunya apabila ia tiba-tiba timbul jam 7.50 pagi semalam sebaik ibunya tiba di lokasi kejadian.

Menurut Tuminah, dia menerima berita sedih itu ketika berada di tempat kerjanya di Senggerang Johor, kira-kira jam 2 petang pada hari kejadian dan bertolak ke Dungun pada sebelah malamnya.

Katanya, pada malam Jumaat, sebelum kejadian menimpa mangsa, dia bermimpi jatuh dalam gaung yang dalam berdekatan sebuah bukit, namun tidak mengesyaki apa-apa petanda buruk dan beranggapan ia hanya mainan tidur.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan sebelum tiba di Dungun, dia hanya berdoa agar mayat anaknya segera ditemui dan sebaik sampai di bandar Dungun kira-kira jam 4.30 pagi semalam, Tuminah terus pergi ke tempat kejadian bagi mengetahui nasib anaknya.

“Mak cik berdiri di tepi pantai, jerit namanya beberapa kali, naluri ibu dapat rasa dia ada di sini nak jumpa makcik.

“Ia benar-benar berlaku, doa makcik dimakbulkan tuhan. Seketika kemudian, mayat Hanif timbul dan berjaya ditemui,” katanya.

(Baca: Kisah Seorang Janda Dan Sebiji Terung)

Tuminah menganggap kejadian itu adalah ketentuan Tuhan. Hanif timbul selepas hampir 24 jam di tempat dia hilang ketika mandi bersama tiga rakan baiknya termasuk seorang daripadanya, Ahmad Shukrie Eiman Romainor yang turut menjadi korban dalam tragedi hujung minggu itu.

Kakak arwah, Hasnah Ahmad Apandi, 31 yang ditemui di Unit Forensik Hospital Dungun berkata, beberapa hari sebelum tragedi, adik lelakinya itu menghubungi ibunya dan sempat bercakap dengan seorang lagi adik lelaki bongsu.

Dalam perbualan itu, arwah sempat meminta maaf kerana dia akan bertolak ke Tanah Suci Makkah untuk menunaikan umrah.

“Saya tak sangka dia akan pergi begitu cepat. Saya redha dan mendoakan kesejahteraan rohnya,” katanya.

Jenazah pelajar semester dua diploma kejuruteraan automatif PSMZA itu dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Parit Sri Dalam, Senggerang Johor.

Dalam kejadian di Pantai Teluk Bidara kira-kira jam 9.30 pagi semalam, Muhammad Hanif Jainuri, 18 dan Ahmad Shukrie Eiman Romainor, 18, menjadi korban pantai selepas dibawa arus ombak ketika mandi bersama 11 lagi rakan sekolej.

Seorang lagi mangsa, Muammar Farhan Beig Shamsuri, 18, terselamat selepas berhempas pulas mengheret Shukrie ke tepi, namun Hanif yang turut lemas bersamanya gagal diselamatkan berikutan arus ombak terlalu deras.

Sumber: Sinar Harian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon