Tuesday, December 24, 2013

600,000 Pekerja Meninggal Setiap Tahun Akibat Tekanan Melampau!


Malam sebelum kematiannya, wanita berusia 27 tahun itu sempat menghantar mesej di Twitter yang mengatakan dia masih bekerja selama tiga hari tanpa rehat yang cukup dan tidak tidur selepas 30 jam, bergelut menyiapkan tugasan.

Mita Diran
Mita Diran meninggal dunia selepas kerja tanpa henti 
selama tiga hari dan tidak tidur dalam tempoh 30 jam.

Esoknya, Mita tiba-tiba rebah lalu dibawa ke hospital oleh rakan sepejabatnya sebelum disahkan koma. Beberapa jam selepas itu, penulis iklan di Young & Rubicam, agensi pengiklanan milik syarikat antarabangsa WPP, diberitakan meninggal dunia kerana masalah jantung yang berpunca daripada tekanan melampau serta pengambilan minuman tenaga yang berlebihan.

Bukan hanya Mita yang mengalami tekanan seperti ini di tempat kerja. Hampir enam bulan lalu, Li Yuan, juga pekerja di syarikat pengiklanan di China, meninggal dunia kerana serangan jantung selepas terpaksa bekerja lebih masa setiap malam selama sebulan.

Lelaki berusia 24 tahun itu tiba-tiba menjerit kesakitan ketika bekerja sebelum rebah lalu disahkan meninggal dunia apabila dibawa ke Pusat Perubatan Kolej Peking Union, Beijing.

(Baca: Tahukah Anda Kenapa Badan Kita Selalu Letih)

Dilaporkan China kini mengatasi Jepun dalam jumlah kematian membabitkan tekanan di tempat kerja.

Menurut laporan akhbar The China Youth Daily tahun lalu, lebih 600,000 pekerja di China dicatatkan meninggal dunia setiap tahun kerana kepenatan.

Jumlah itu juga dikaitkan dengan serangan jantung dan angin ahmar berpunca daripada tekanan melampau.

Apabila dilakukan kajian terperinci, majoriti mengalami simptom seperti insomnia atau susah tidur, anoreksia, kurang selera makan dan kesakitan di bahagian abdomen.

Kematian dua anak muda ini mencetuskan polemik dalam kalangan pekerja profesional, pengamal perubatan dan pakar psikologi.

Di negara Barat, pekerja yang melakukan tugasan lebih masa dianggap kurang efektif dalam pengurusan masa tapi sebaliknya di kebanyakan negara Asia.

Jepun, Korea Selatan dan China antaranya memandang sinis terhadap pekerja yang pulang mengikut masa dan mereka yang tidak melakukan tugasan lebih masa disifatkan tidak proaktif.

Justeru, benarkah tekanan berterusan di tempat kerja boleh menjadi punca kepada serangan jantung, lalu mengakibatkan kematian?

Meskipun dunia perubatan masih belum menemui bukti kukuh wujudnya kaitan antara tekanan mental dan keadaan jantung, pe-nyelidikan terkini mendapati tekanan mental berupaya meningkatkan risiko serangan jantung dan strok.

Kajian Kolej Universiti London pada 2012 mendapati mereka yang bergelut dengan tekanan lebih cenderung mengalami masalah arteri yang mengeras berbanding golongan yang berada di bawah tekanan.

Dalam kajian itu, doktor merekrut 514 responden lelaki dan wanita dengan usia purata 62 tahun. Satu pun tidak menunjukkan tanda mengalami penyakit jantung di awal ujian.

Responden kemudiannya diletakkan dalam keadaan tekanan dan kebanyakan ujian membabitkan tekanan di tempat kerja.

Tahap hormon kortisol dalam air liur responden didapati meningkat secara mendadak dalam tempoh singkat.

(Baca: Ketahui Zon Paling Memberahikan Wanita)

Kortisol dihasilkan oleh badan apabila ia datang di bawah tekanan mental atau fizikal. Apabila dilepaskan, ia boleh menyebabkan arteri makin rapat dan mengeras.

Arteri responden ini juga diimbas untuk melihat simptom furring iaitu keadaan di mana pengumpulan bahan lemak berlaku di bahagian dalam dinding arteri.

Mereka yang didapati mengalami peningkatan kortisol ketika ujian adalah dua kali berisiko mempunyai simptom ini berbanding mereka yang di bawah tekanan.

Apapun, kematian Mita dan Li ini menunjukkan komunikasi yang baik antara majikan dan pekerja amat penting, selain rehat yang baik, dengan tidur sekurang-kurangnya enam jam sehari.

Pakar psikologi juga menyarankan jalan alternatif seperti mencari sesuatu yang digemari bagi mengelakkan tekanan berterusan.

Ia bukan saja memulihkan semula rohani yang lesu tapi dapat mengelakkan berlakunya masalah kesihatan yang lebih buruk.

Sumber: Harian Metro Online

2 comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon