Tuesday, November 26, 2013

Wanita Malaysia “Hamba” Di London Pengikut Fahaman Marxist-Leninist


Wanita misteri warga Malaysia berumur 69 tahun yang dijadikan hamba selama 30 tahun di London berkemungkinan bernama Siti Aishah Abdul Wahab, kata bekas aktivis mahasiswa, Hishamuddin Rais.

Hishamuddin Rais
Hishamuddin Rais.

Wanita itu merupakan salah seorang daripada tiga wanita yang dibebaskan pada 25 Oktober di London selepas salah seorang daripada mereka menghubungi pertubuhan kebajikan.

Polis Britian masih belum mendedahkan identiti ketiga-tiga wanita tersebut tetapi memaklumkan bahawa sepasang suami isteri ditahan berkait dengan kes itu.

Hishamuddin yang hidup dalam buangan di London pada lewat 1970-an berkata, Siti Aishah aktif dengan kumpulan mahasiswa Malaysia berhaluan kiri yang menggelarkan diri mereka "New Malayan Youth" di ibu kota Britian pada ketika itu.

"Abang dia ada cari saya pada 1991 minta tolong carikan Aishah yang dikatakan hilang kerana kami berasal dari daerah sama," katanyaa kepada The Malaysian Insider ketika ditemui awal pagi ini.

"Saya juga menetap di Brixton, London, di mana lokasi wanita itu ditemui," kata bekas aktivis mahasiswa yang menggendalikan blog “TukarTiub” itu.

Hishamuddin berkata, Siti Aishah merupakan pengikut kepada fahaman Marxist-Leninist dan pemikiran bekas pemimpin besar China Mao Tse Tung.

Difahamkan, "New Malayan Youth" adalah pertubuhan mahasiswa yang menggabungkan pelajar berhaluan kiri dari Malaysia dan Singapura pada 1970-an.

Hishamuddin yang pulang ke Malaysia pada 1994 selepas bertahun-tahun hidup dalam buangan berkata, Siti Aishah merupakan bekas penuntut Kolej Tunku Kursiah (TKC), Seremban dan kemudiannya melanjutkan pelajaran dalam bidang Juruukur Bahan (QS) di London di bawah biasiswa "Colombo Plan".

Bekas aktivis mahasiswa itu mendakwa, beliau berasal dari daerah yang sama dengan Siti Aishah iaitu di Jelebu, Negeri Sembilan dan kakak kepada wanita itu adalah gurunya di sekolah menengah.

slave_london

Hishamuddin menetap di London selama 15 tahun dan menuntut ilmu Asas Seni di Brixton College sebelum melanjutkan pelajaran Ijazah Sarjana Muda Kajian Filem dan Video di University of Westminster, London. Alamat terakhir beliau di London adalah di Coldhabour Lane, Brixton.

Akhbar Britian melaporkan pasangan yang ditahan ialah Aravindan Balakrishnan, juga dikenali sebagai “Comrade Bala” dan isterinya Chanda dari Tanzania, tetapi Hishamuddin berkata, lelaki itu turut dikenali sebagai “Chairman Ara” dan berasal dari Singapura.

Polis Britian mengesahkan pasangan itu pernah ditahan pada 1970-an tetapi tidak menyatakan sebabnya.

Polis juga enggan mengesahkan identiti pasangan itu yang dibebaskan dengan ikat jamin sehingga tarikh perbicaraan pada Januari depan tetapi mengatakan ketiga-tiga wanita itu tidak kelihatan seperti didera secara seksual.

Polis tidak menolak dakwaan wanita itu dipukul.

Turut difahamkan, wanita Malaysia itu berada dalam keadaan yang 'sangat trauma' dan ditempatkan di satu lokasi selamat tetapi alamat rumah lokasi di mana jenayah tersebut berlaku tidak didedahkan.

Menurut kenyataan polis, kedua-dua suspek bukan warganegara Britain.

Ketiga-tiga mangsa bebas daripada “perhambaan” selepas salah seorang daripada mereka menghubungi badan kebajikan Freedom Charity pada 18 Oktober.

Menurut laporan media Britain, Pengasas Freedom Charity, Aneeta Prem bertemu dengan ketiga-tiga wanita berkenaan Khamis lalu.

Laporan media juga menyebut mangsa didera secara fizikal dan dikawal emosi dalam kes perhambaan yang disifatkan sebagai "rumit dan menyayat hati".

Polis dipetik sebagai berkata, mereka masih menyiasat apakah "gari tidak nampak" yang digunakan untuk memanipulasi ketiga-tiga mangsa.

Polis menghabiskan masa 12 jam untuk mencari lokasi perhambaan berkenaan dan mengumpul 55 beg bahan bukti dan 2,500 eksibit.

[Sumber]

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon