Tuesday, November 19, 2013

Remaja Dilapor Hilang Di Vila Berhantu, Ditemui Menyorok Dirumah Rakan!


Remaja yang dilaporkan hilang kelmarin selepas dikatakan masuk ke kawasan rumah banglo tinggal, Villa Nabila di Danga Bay di sini ditemui malam tadi dipercayai menyorok di rumah rakannya di Flat Desa Mutiara, di sini.


Remaja berkenaan bersama rakannya kemudian telah dibawa ke Balai Polis Bandar Dato’ Onn untuk direkod kenyataan.

Mengapa remaja itu bertindak demikian tidak diketahui tetapi pihak polis dijangka akan membuat sidang akhbar sebentar lagi.

Berita kehilangannya menggemparkan hampir seluruh negara selepas tersebarnya kisah bahawa 30 orang remaja masuk ke Villa Nabila namun hanya 7 yang berjaya keluar dan 23 lagi hilang.

Berikutan laporan polis yang dibuat keluarga berkenaan, polis telah mengadakan gerakan mencari di sekitar kawasan villa itu dan kejadian itu menarik perhatian masyarakat seluruh negara serta menjadi tajuk sensasi di media sosial sejak kelmarin.

Polis Sahkan Hanya Seorang Hilang Di Villa Berpuaka, Villa Nabila!

Villa Nabila Berpuaka

Berita sebelum ini melaporkan seorang remaja lelaki dilaporkan hilang selepas dikatakan mengunjungi sebuah rumah lama yang terbiar di Jalan Skudai, berhadapan Pantai Lido, di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan Supt Abdul Samad Salleh berkata kehilangan Mohamad Izzat Izzudin Husin, 16, disedari ibunya, Norhayati Mohamad, 38, semalam apabila dia tidak pulang ke rumah di Kampung Hajah Hasnah, Majidee, di sini, sejak keluar pada Sabtu.

“Norhayati kemudian menghubungi salah seorang daripada rakan Mohamad Izzat Izzudin lalu dimaklumkan bahawa remaja terbabit telah pergi ke rumah tersebut yang lebih dikenali sebagai ‘Villa Nabila’.

“Wanita terbabit kemudian pergi mencari sendiri Mohamad Izzat Izzudin di villa tersebut sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Danga Bay, di sini, pada kira-kira pukul 1 pagi tadi selepas gagal menemui remaja berkenaan,” katanya kepada pemberita yang ditemui di lokasi terbabit, hari ini.

Abdul Samad berkata sepasukan polis bersama unit anjing pengesan dan pasukan bomba digerakkan ke villa itu untuk melakukan operasi mengesan remaja terbabit, bagaimanapun, belum menemuinya sehingga kini.

Beliau berkata kes berkenaan diklasifikasikan sebagai orang hilang dan sehubungan itu polis turut menafikan khabar angin yang tersebar di laman sosial Facebook dengan mendakwa sekumpulan 23 remaja hilang selepas masuk ke dalam villa berkenaan manakala tujuh lagi berjaya keluar dari bangunan itu.

Katanya, setakat ini pihaknya hanya menerima satu laporan polis berhubung orang hilang dan menggesa orang ramai supaya tidak menyalurkan maklumat yang tidak tepat hingga boleh mengelirukan pelbagai pihak.

Sementara itu, orang ramai didapati mengerumuni perkarangan pintu masuk villa tersebut sejak malam tadi hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di sepanjang Jalan Skudai, pagi ini.

Villa tersebut yang terdiri daripada tiga buah bangunan yang sudah usang berusia 40 tahun lepas sering dikaitkan dengan pelbagai kejadian mistik hingga menjadi tumpuan orang ramai termasuk luar negara khususnya pengkaji aktiviti paranormal.

Salah seorang remaja yang masuk ke villa terbabit, Megat Irfan Abdullah Shariman, 16, ketika ditemui berkata beberapa rakannya diserang histeria selepas 20 minit berada di dalam bangunan itu.

“Saya masuk ke bangunan itu sekadar suka-suka bersama 30 yang lain (termasuk Mohamad Izzat Izzudin) pada pukul 12.30 tengah malam, awal hari Ahad. Apabila terjadi histeria, kami semua bergegas keluar dan mendapatkan pertolongan dari sebuah masjid berhampiran.

“Saya tidak menyangka ada di kalangan kami yang hilang selepas semuanya bersurai kerana saya sendiri pun tidak berapa mengenali ramai yang lain,” katanya.

Sumber: Bernama

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon