Sunday, October 13, 2013

Misteri Air Keluar Dari Celah Dinding Yang Membingungkan!


Francis Martin dan keluarganya sedang menonton televisyen di rumah mereka di Methuen, Massachussetts, Amerika Syarikat pada Oktober 1963 apabila satu tompokan air tiba-tiba muncul di dinding.

water demon
Gambar hiasan.

Tompokan itu semakin membesar dan serentak itu kedengaran bunyi letupan kecil seolah-olah dinding ruang tamu itu merekah.

Mereka bergegas memeriksanya tapi kemudian lari bertempiaran apabila tiba-tiba air menyembur keluar dari dinding berkenaan.

Daripada satu, jumlah semburan air itu bertambah kepada dua, tiga, empat dan seterusnya. Ia hanya berhenti selepas 20 saat kemudian, tetapi memancut semula lima belas minit kemudian. Ruang tamu rumah Francis dilimpahi air.

"Angkat barang-barang ini!", jerit Francis kepada anak-anaknya.

Perabot dan segala kelengkapan rumah segera diangkut ke bilik lain.

Dalam masa yang sama, Francis cuba menghalang air yang masih memancut-mancut dari segenap penjuru, tetapi gagal.

Tukang paip yang dipanggil juga gagal mengesan puncanya kerana tiada sebatang saluran paip pun dipasang pada tempat-tempat air itu memancut.

Selepas berlarutan selama beberapa hari, Francis membawa keluarganya berpindah ke rumah ibu mentuanya di Lawrence, tidak jauh dari Methuen.

Malangnya, belum pun sehari menginap di situ, rumah ibu mentuanya pula digenangi air. Seperti sebelum ini, ia dimulai dengan kemunculan tompokan air di dinding, diikuti oleh bunyi letupan-letupan kecil; memancut-mancut dari segenap sudut.

Timbalan ketua bomba kawasan itu yang memeriksa rumah tersebut juga bingung kerana pihaknya tidak menemui sebarang kebocoran paip. Malah tidak ada langsung saluran paip dipasang dalam dinding di tempat berlakunya semburan air itu.

Rumah berkenaan menjadi tumpuan ramai dan mereka menyaksikan sendiri kejadian misteri itu. Pada satu peringkat, rumah ibu mentua Francis digenangi air sedalam dua kaki!

Jika dia terus menginap di situ, pasti keadaan akan menjadi bertambah kalut. Lantas Francis membawa keluarganya pulang ke Methuen.

Semua kepala paip ditutup dan bekalan air ke rumahnya dihentikan bagi mengelakkan kejadian aneh itu berulang.

Tapi musibah itu tetap menghambatnya. Sekali lagi rumah Francis dibanjiri air yang tidak diketahui puncanya. Untuk kali kedua, Francis membawa keluarganya berpindah semula ke Lawrence.

Malangnya, di rumah ibu mentuanya juga berlaku kejadian serupa walaupun semua bekalan air ke situ telah diputuskan.

Berapa kali pun dia berpindah, pancutan air itu tetap mengekorinya. Namun, aneh, sebaik Francis meninggalkan rumah berkenaan, kejadian aneh itu juga terhenti dan mengekori Francis sekeluarga - ia 'berpindah' ke rumah baru yang didiami oleh lelaki tersebut.

Francis tidak tahu daripada mana asalnya air itu. Pihak pembekal air, jurutera, tukang paip dan ahli psikik juga gagal memberikan jawapan.

Kejadian pelik iru berakhir beberapa bulan kemudian tanpa diketahui sebab-musababnya.

Seperti hujan yang berhenti apabila habis musim.

BACA INI JUGA: KISAH BENAR! Penumpang Misteri Van Jenazah!

-SENTIASAPANAS.COM

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon