Monday, September 30, 2013

Muslihat Di Sebalik Pengharaman Pertubuhan Ikhwanul Muslimim


Majoriti rakyat Mesir sejak zaman pemerintahan British sehingga Hosni Mubarak tidak pernah merasai kenikmatan hidup hasil kekayaan bumi mereka.

Ikhwanul Muslimim

Sikap rakus pemimpin merupakan faktor utama kewujudan beratus pergerakan Islam di Mesir.

Pergerakan-pergerakan Islam di negara itu amat popular kerana mereka merupakan organisasi yang memberi sumbangan kepada masyarakat miskin dan daif.

Di antara pergerakan yang paling radikal yang sentiasa menggunakan senjata dan bom menentang rejim adalah Jama'ah al-Islamiyyah yang dikenali sebagai Tanzim al-Jihad yang ditubuhkan pada 1980. Kebanyakan ahlinya adalah graduan dalam bidang sains dan jurutera.

Apabila Mohamed Mursi dilantik menjadi Presiden Mesir, beliau bukan sahaja berhadapan dengan penentangan daripada pihak Mubarak malah menghadapi permasalahan dengan pergerakan radikal Islam Mesir dalam menentukan dasar dan polisi negara.

Dalam jangka masa yang pendek memerintah Mesir adalah tidak mungkin untuk Mursi menyelesaikan permasalahan berkaitan negara dan kemasyarakatan yang mempunyai pelbagai ideologi.

Pelbagai agenda dilakukan oleh musuh Ikhwanul Muslimin untuk melemahkan kuasa beliau. Di dalam parlimen golongan sekular yang berkiblat Barat menekan beliau dengan pelbagai isu dengan niat melemahkan pengaruh beliau dalam parlimen.

Golongan pergerakan radikal pula secara lantang meminta Mursi melaksanakan perundangan Islam tanpa melihat permasalahan sosio-politik dan ekonomi Mesir.

Suasana begini memberi peluang kepada golongan sekular Mesir mempengaruhi Kristian di Mesir menentang pemerintahan Mursi.

Keadaan ini membangkitkan rusuhan agama terutamanya di kawasan yang dihuni oleh pergerakan radikal seperti di Iskandariah dan sebagainya.

Suasana begini memberi peluang kepada penyokong Mubarak menuduh Ikhwanul Muslimin gagal menyelesaikan permasalahan masyarakat dan menggunakan kuasa tentera untuk menggulingkan Mursi serta bertindak ganas ke atas Ikhwanul di mana pada akhir November 2012 kerajaan sementara Mesir membakar ibu-ibu pejabat Ikhwanul Muslimin.

Apabila Menteri Dalam Negeri diserang oleh penembak berani mati pada 5 September 2013 mereka menuduh Ikhwanul Muslimin melakukannya sedangkan mereka tahu bahawa siri pengeboman dan pembunuhan sering dilakukan oleh Tanzim al-Jihad dan pergerakan radikal lain bukan Ikhwanul Muslimin.

Bagi melindungi tipu muslihat tersebut mereka menuduh Mursi dan Ikhwanul sebagai punca membangkitkan penentangan dan pemberontakan serta pembunuhan anggota polis.

Mereka amat prihatin terhadap kematian anggota polis tetapi mereka tidak pernah menghiraukan kematian rakyat yang dibunuh secara bebas oleh polis.

Serangan tersebut memberi peluang kepada kerajaan sementara Mesir mengharamkan Pergerakan Ikhwanul Muslimin, membunuh, menangkap para pemimpin Ikhwanul Muslimin dan merampas wang dan harta mereka.

Sumber: Utusan

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon