Saturday, August 31, 2013

Ketua Kumpulan Kongsi Gelap Geng 21 Mati Ditembak!


Seorang ketua kumpulan kongsi gelap berusia 37 tahun ditembak mati dihadapan ahli keluarganya ketika sesi upacara sembahyang di sebuah kuil di Gelang Patah dekat sini pada Jumaat.

Geng 21
Gambar hiasan

Ketika kejadian K. Jeganathan sedang berada dalam kuil bersama isteri dan tiga anaknya.

Kira-kira pada pukul 7.30 malam, dua lelaki yang memakai topi keledar masuk ke dalam kuil berkenaan dan melepaskan beberapa das tembakan terhadap mangsa.

Suspek kemudiannya segera meninggalkan tempat kejadian dengan menaiki motosikal.

Semuanya berlaku dalam beberapa minit sahaja.

Jeganathan, dipercayai ketua kumpulan Geng 21, dikejarkan ke sebuah klinik di Gelang Patah dan namun dia disahkan meninggal dunia sebaik tiba di sana.

Mayatnya di bawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk dibedah siasat. -mStar

Lima Lagi Suspek Ahli Kongsi Gelap

Sementara itu, lima lelaki dipercayai anggota kumpulan kongsi gelap Geng 04 dan Geng 08 ditahan dalam Ops Cantas Khas di sini petang Jumaat dan awal pagi Sabtu, menjadikan 183 suspek ahli kongsi gelap ditahan di Kedah setakat ini.

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata empat lelaki dari Kubang Pasu berumur antara 20 hingga 30 tahun diberkas di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bukit Kayu Hitam ketika cuba masuk ke Thailand, kira-kira 5.40 petang Jumaat.

"Polis mendapati semua empat lelaki itu mempunyai tatu lambang ahli kumpulan kongsi gelap dipercayai Geng 04 apabila diperiksa. Mereka kini ditahan reman bagi membantu siasatan," kata Ahmad pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Kedah di sini, Sabtu.

Seorang lagi lelaki berumur 21 tahun yang dipercayai anggota Geng 08 berdasarkan simbol pada badannya ditahan kira-kira 12.45 tengah malam tadi di Kulim, katanya.

Katanya menjadi ahli pertubuhan haram boleh didakwa mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya. -BERNAMA

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon