Wednesday, August 28, 2013

Kesesatan Syiah, Kufah Dan Karbala


Agak mengelirukan apabila tokoh-tokoh agama Syiah menggembar-gemburkan kemuliaan Masjid Kufah di Iraq serta kesucian Karbala sebagai ganti kepada Masjid Al-Aqsa yang dianggap mereka sebagai tidak wujud dalam syariat Islam.

Syiah sesat

Menarik untuk ditanya, adakah karamah Masjid Kufah dan bumi Karbala yang ditonjolkan sebagai destinasi ibadah untuk umat Islam?

Tidakkah ia hanya merupakan sentimen Syiah untuk mencari premis ibadah baru demi mencabar akidah Ahli Sunnah Waljamaah?

Dengan penuh berani, ulama Syiah menafikan ayat-ayat suci Al-Qur'an yang meletakkan Al-Aqsa sebagai masjid ketiga mulia dalam Islam selepas Masjidilharam di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah Al-Munawarah.

Masjid Kufah
Masjid Kufah, Iraq

Keunggulannya ketiga-tiga masjid itu sering disabdakan Rasulullah SAW dalam hadis baginda dan mendorong umat Islam melakukan ibadah dengan ganjaran pahala yang disebut dengan sahih.

Mengikut sebuah buku tafsir Syiah berjudul 'Tafseel Wasaail Ash-Sheeah' Masjid Kufah dianggap sebagai rahmat Allah kepada Sayidina Ali dan tiada siapa yang boleh membinasakannya melainkan akan menerima bala daripada Allah. Ditegaskan bahawa masjid itu adalah yang ketiga termulia.

Persoalan tentang kedudukan Masjid Al-Aqsa sebagai masjid ketiga termulia ditolak oleh ulama Syiah.

Semuanya sependapat bahawa ayat 1 surah al-Israq (17) bukan bermaksud al-Aqsa di Jurusalem tetapi sebuah masjid di Baitulmuqaddis di syurga.

Al-Kulani dalam bukunya berjudul 'Al-Kaafi' memetik kata-kata seorang ulama yang mendengar ucapan tokoh agung Syiah bernama Syeikh Abu Abdullah al-Sidiq sebagai berkata bahawa satu kali solat di dalam Masjid Kufah adalah bersamaan seribu kali solat di tempat-tempat lain. Satu dirham dibelanjakan di masjid ini adalah bersamaan seribu dirham dibelanjakan ditempat lain.

Dijelaskan lagi bahawa tanah dan Masjid Kufah adalah tempat ibadah para malaikat sebelum Nabi Adam diturunkan ke bumi. Tempat itu memiliki sebuah taman di tengah-tengah perkarangannya dan sumber ini akan tersaksi di akhirat nanti.

Diceritakan bahawa seorang penduduk Iraq datang ke masjid itu untuk bertemu dengan tokoh agung Syiah, Abu Abdullah Al-Siddiq untuk mengucapkan selamat tinggal kerana ingin mengembara ke Al-Aqsa.

"Apakah yang kamu ingin cari dalam pengembaraan ini?", tanya Abu Abdullah.

"Saya ingin ke MAsjid Al-Aqsa dan ingin mendapat restu dan pandangan syeikh," jelas orang itu.

"Apakah yang kau ingin capai daripada lawatan itu?" tanya syeikh itu lagi.

"Pahala," jawab orang itu.

Secara keras Syeikh Abu Abdullah berkata, "Pergi jual unta kamu dan makanlah bekalan perjalanan kamu dan sembahyanglah di dalam masjid ini!"

Lalu ulama Syiah itu menjelaskan bahawa sembahyang waktu dalam masjid ini adalah sama dengan melakukan haji dan sembahyang sunat adalah sama dengan pahala umrah.

Dijelaskan lagi bahawa kawasan Masjid Kufah mempunyai karamah besar sejauh 12 batu. Di bawahnya terdapat telaga susu, telaga air dan minyak. Akan ada sebuah kolam yang boleh membersihkan kamu zahir dan batin. Di sinilah berlaku pelancaran bahtera Nabi Nuh.

Selanjutnya dijelaskan bahawa seandainya seseorang mengalami masalah, maka bersolat di masjid ini sesaat akan nescaya Allah akan memenuhi permintaannya dan menghilangkan masalahnya.

Perlu diketahui bahawa dari sudut sejarah, Masjid Kufah pada awalnya dibina oleh seorang sahabat Rasulullah yang bernama Saad Ibni Abu Waqqaas pada 17H pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab. Apabila tiba zaman kepimpinan Sayidina Ali, masjid ini dirobohkan dan dibina semula.

Lantaran sentimen yang melampau terhadap Ali, maka Syiah mewujudkan sebuah hadis bersanad kepada khalifah itu yang menyebut bahawa perjalanan ibadah adalah pada tiga buah masjid iaitu Masjidilharam, Masjid Nabawi dan Masjid Kufah adalah dituntut oleh syariah (Syiah). Catatan itu hanya ada di dalam kitab fikah dan kitab sejarah tulisan Syiah sahaja.

Dalam pada itu tanah perkuburan Karbala menerima keagungan yang lebih tinggi dari kaca mata puak Syiah, malah lebih agung daripada Al-Aqsa dan Kaabah.

Hari Asyura
Pengikut Syiah merayakan Hari Asyura meratapi kematian Hussein.

Karbala yang merupakan medan pertempuran antara pengikut Yazid, anak kepada Muawiyah, khalifah pertama Bani Umaiyyah dengan kejam membunuh Sayidina Hussein dan rombongannya yang datang ke bumi Iraq.

Tindakan kejam tentera Yazid memancung kepala Hussein menyebabkan puak Syiah merasa bersalah kerana tidak membantu cucu Rasulullah dalam pertempuran itu.

Kejadian itu membuatkan pengikut Syiah semakin 'cinta' kepada keturunan Nabi (ahlul bait) dan sekaligus membuatkan mereka lebih mengagungkan Karbala.

Dalam kitab 'Bihaar Al-Anwaar' dimaktubkan bahawa Allah memilih bumi Karbala sebagai tempat yang selamat dan tersuci, 24 ribu tahun sebelum berlaku pembinaan Kaabah. Kesucian tempat itu akan terus dipelihara Allah hinggalah ia akan dijadikan taman syurga kelak.

Dalam buku yang sama dijelaskan bahawa menziarahi kubur Sayidina Hussein adalah sama seperti mengerjakan haji. Syeikh Abu Abdullah Al-Sidiq berkata, barang siapa menziarahi kubur Hussein bersamaan hari Arafah akan dicatat Allah pahala sejuta haji dan demikian juga pahala yang diberi kepada ibadah umrah.

Makam
Menziarahi kubur Hussein adalah merupakan ibadah yang tersuci.

Ulama Syiah, Syeikh Al-Faidh Al-Kaashaani ketika menjelaskan fadilat lawatan ke kubur Hussein menegaskan, sekalipun seseorang akan mengalami kepenatan, mengeluarkan belanja dan bersusah payah berada di perkarangan masjid itu maka Allah menjanjikan petunjuk di dunia mahupun di akhirat.

Keagungan dan kebesaran Masjid Kufah dan Karbala banyak sekali dihidangkan dalam kitab-kitab fikah dan Mazaarat oleh ulama, sejarahwan dan pentafsir mazhab Syiah.

Kelainan fahaman Syiah ke atas Masjid Al-Aqsa adalah untuk memberi signifikan kepada Masjid Kufah dan perkuburan Hussein di Karbala. Entah dari sumber mana tafsir dan hadis ini dipetik tidak dapat dipastikan dengan sahih.

Tindakan berani itu diambil untuk menyimpang titian agama supaya laluan pengikut Syiah dianggap lebih betul daripada pengikut Ahli Sunnah Waljamaah atau mazhab-mazhab lain dalam Islam.

BACA INI JUGA: Bagaimana Mengenal Penganut Syiah?

-SENTIASAPANAS.COM

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon