Friday, July 05, 2013

Kenapa Rakyat Mesir Gulingkan Morsi?


Terkejut membaca berita; Presiden Mesir Dr. Mohamed Morsi telah digulingkan! Melalui sumber berita, Morsi telah digulingkan melalui campur tangan pihak tentera sekaligus menyaksikan Mesir kini berada di bawah pemerintahan sementara oleh Tentera. Pihak tentera Mesir juga mengumumkan pelan tindakan masa depan politik negara ini yang bakal dilaksanakan oleh sebuah jawatan kuasa perdamaian nasional.


Mungkin ramai antara kita yang bertanya: “Mengapa ramai sangat yang menentang Presiden Dr Mohamad Morsi dari Gerakan Ikhwan Al-Muslimin, padahal majoriti penduduk Mesir telah mengundi beliau semasa pilihan raya pemilihan Presiden Mesir selepas Revolusi 25 Januari 2011 yang lalu?"

Bukankah ia pelik? Apalagi yang dimahukan oleh Rakyat Mesir?

Berikut beberapa pendapat yang dapat kumpulkan melalui sumber-sumber berita di internet, ia bukanlah pendapat peribadi kami:
  • Ketika pemerintahan Hosni Mubarak yang panjang, konsep politik Islam sentiasa mengalami ancaman termasuk tidak mengiktiraf kemenangan parti yang mewakili Islam. Perubahan pasca Hosni Mubarak, pada awal kemenangan sayap politik Ikhwanul Muslimin ramai aktivis Islam melihatnya sebagai kemenangan pergerakan Islam, tetapi ia tidaklah semudah ketika runtuhnya rejim Mubarak.
  • Kemenangan Presiden Dr.Morsi adalah sebanyak 13 juta undi berbanding calon sengit Ahmad Syafiq yang meraih 12 juta undi dan ini bermakna Dr Mohamad Morsi menang dengan majoriti sebanyak 1 juta undi.
  • Dr. Mohamed Morsi yang menang secara sah menerusi pilihan raya awam pertama selepas kejatuhan Hosni Mubarak, akhirnya terpaksa berhadapan dengan siri rusuhan yang panjang dalam tempoh setahun kemenangannya.
  • Pertengahan tahun 2012, Morsi diisytiharkan menang dan di awal kemenangannya, Ikhwanul Muslimin pernah ditempelak kerana masih mengekalkan sebahagian penyokong Mubarak dan kelompok liberal dalam mempengaruhi pentadbirannya, termasuk cadangan pindaan perlembagaan.
  • Kumpulan liberal, sekular dan pembangkang berhaluan kiri melihat Morsi adalah seorang pemimpin yang gagal, kerana tidak mampu menyusun sebuah sistem pentadbiran yang cekap dan berkesan.
  • Morsi juga terpaksa mengetepikan dikri yang pernah dikeluarkan bagi melaksanakan pindaan perlembagaan kerana dianggap tidak menepati kehendak politik moden negara itu yang masih memerlukan bantuan Barat, terutamanya Amerika Syarikat.
  • Morsi pernah membuat permohonan bantuan kewangan daripada tabung kewangan yang dikawal oleh Amerika Syarikat bagi memulihkan negara itu yang musnah dalam rusuhan besar selama beberapa bulan terakhir pentadbiran Mubarak.
  • Sejak negara-negara Barat menjajah Mesir, dan selepas mencapai kemerdekaan, pemerintahan boneka Mesir dinilai tidak memberikan ruang yang menarik untuk pertubuhan Islam.
  • Ikhwanul Muslimin bukan sahaja pernah diharamkan oleh pemerintah, bahkan aktivisnya pernah ditangkap dan dijatuhi hukuman bunuh manakala sebahagian yang lain melarikan diri ke serata negara. Dalam perlembagaan Mesir, oleh sebab Ikhwanul Muslimin yang berasal daripada gerakan sosial dan kemudiannya membuka sayap politik, memasuki pilihan raya menjadi ancaman kepada kekuasaan pemerintah dan Barat, tekanan sentiasa dilakukan.
  • Bagaimanapun, Ikhwanul Muslimin merupakan sebuah pertubuhan yang paling berpengaruh dan tersusun, apabila berakhirnya rejim Mubarak pada awal tahun 2011, ramai yang meramalkan parti yang didokongi Ikhwanul Muslimin akan mencapai kemenangan. Hal itu menjadi kenyataan apabila sayap politiknya menang pada pertengahan 2012, dan proses pembentukan kerajaan benar-benar memberikan cabaran yang besar.
  • Kemunculan kumpulan ekstremis dalam politik Mesir sebenarnya sudah diketahui umum dan sentiasa ada. Ketika Morsi menetapkan dasar yang lebih liberal dan menangguhkan sementara pengiktirafan ke atas Israel, golongan sekular dan kelompok pembangkang berhaluan kiri melihatnya sebagai halangan yang besar.
  • Kelompok tersebutlah sebenarnya yang muncul kemudian untuk menentang setiap keputusan presiden dan ketika ini mendesak Morsi berundur.
  • Kelompok penentang Morsi telah memulakan gerakan menyeru rakyat agar bangkit dan mendesak pengundurannya. Situasi seperti ini memang sudah muncul sejak zaman pemerintahan Saidina Uthman Affan r.a. sehingga menyebabkan berlaku tragedi berdarah. Ia bermula menerusi penyebaran fitnah oleh kelompok pelampau atas dakwaan urus tadbir negara yang tidak cekap. Morsi juga berhadapan dengan tuduhan yang sama kerana gagal melaksanakan reformasi ekonomi yang berkesan.
  • Kegagalan Morsi menguruskan ekonomi sebenarnya berpunca daripada sumber kewangan yang tidak mencukupi. Apabila gagal mendapat pinjaman, bantuan kewangan daripada dana pemegang tabung antarabangsa, ia telah membantut proses pemulihan ekonomi.
  • Sebahagian besar kelompok yang banyak mendapat faedah ketika pemerintahan Mubarak, melihat Morsi sebenarnya seorang pemimpin yang gagal. Proses menjana kekayaan telah gagal, maka menyebabkan jumlah rakyat miskin semakin besar dan setiap hari dikatakan bertambah.
  • Sekalipun dinafikan kegagalan berpunca daripada kelemahan dasar, Morsi berhadapan dengan situasi yang hampir sama dengan Khalifah Uthman Affan. Puak pelampau menggunakan ‘kelemahan’ itu sebagai senjata untuk mendesak pengunduran pada mulanya, tetapi atas keengganan beliau, mereka akhirnya mengajak rakyat berhimpun semula di Dataran Tahrir melancarkan ‘revolusi kebangkitan rakyat kedua.’
  • Mereka hanya berkumpul kerana disatukan oleh rasa kemarahan yang sama. Biasanya sasaran kemarahan itu ialah ‘kuasa yang diwujudkan’. Mereka merupakan manusia yang yang normal, tetapi apabila emosinya sentiasa diasak dengan kebencian dan hasutan, akhirnya bertukar menjadi ganas atau agresif.
  • Mereka sebenarnya telah kehilangan arah, tunduk kepada kemahuan massa dan seakan-akan mereka dirasuk. Sikap seumpama ini menjatuhkan martabat mereka sebagai manusia dan secara tidak langsung telah menuruni beberapa anak tangga peradaban.

Gerakan Penyelamat Mesir

  • Sememangnya kita tidak boleh nafikan beribu-ribu jumlah penentang Dr Mohamad Morsi mengambil langkah protes dengan membunuh beberapa pemuda Ikhwanul Muslimin, membakar pejabat-pejabat operasi Ikhwanul Muslimin dan pejabat-pejabat Parti Kebebasan &Keadilan ( FJP ) di seluruh Mesir baru-baru ini, adalah dari kalangan 12 juta penyokong Ahmad Syafiq. Dengan hasrat, ingin dan mahu menjatuhkan rancangan dan cita-cita besar Presiden Dr Morsi untuk melaksanakan Perlembagaan baru di Mesir.
  • Melalui sokongan Ikhwan Muslimin dan Parti Keadilan dan Kebebasan (FJP) pemerintah Mesir melancarkan kempen 'Bersama bangunkan Mesir' yang menawarkan perkhidmatan kesihatan percuma, memulihkan sekitar 2,000 buah sekolah dan mewujudkan pasar murah bagi mengurangkan beban rakyat berikutan kenaikan harga barang.
  • Tetapi malangnya, kesabaran tidak ada kepada parti-parti pembangkang khususnya Barisan Penyelamat Kebangsaan (NSF) yang mendesak supaya revolusi kedua dilancarkan bagi memberi tekanan kepada kerajaan Morsi memenuhi tuntutan mereka dan menyelesaikan segala masalah yang dihadapi oleh Mesir.
  • Mereka mendakwa tempoh enam bulan di bawah pemerintahan Morsi (ketika protes bermula), ekonomi negara itu semakin buruk dan rakyat semakin menderita. Sesuatu yang amat malang bagi pemerintah Mesir apabila mereka terpaksa berhadapan dengan puak yang tidak sabar seumpama itu.
  • Beliau bukan sahaja berhadapan dengan kelompok pembangkang yang sentiasa sahaja mahu mencari salah tetapi juga gerakan-gerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang merasakan gerakan revolusi yang dilancarkan dua tahun lalu tidak memenuhi kehendak mereka.
  • Oleh itu, mereka terus mengapi-api perasaan rakyat Mesir untuk bangkit menentang Morsi pula selepas berjaya meranapkan riwayat pemerintahan Hosni Mubarak. Mereka memahami peluang itu ada kerana berdasarkan kepada pemilihan Presiden pada Jun lalu, Morsi bukanlah menang dengan selesa.
  • Samseng-samseng upahan dari kumpulan tiga serangkai (kumpulan yang mendakwa mereka adalah “GERAKAN PENYELAMAT MESIR” yang diketuai oleh Amru Musa, Dr.Mohammad El-Baradei dan Hamdin Sobahi (bekas calon Presiden Mesir yang tewas).
  • Ada juga kemungkinan besar, bahawa semua samseng ini mendapat habuan yang tinggi daripada kuasa besar Amerika Syarikat dan Israel. Jika tidak, mana mngkin mereka sanggup membunuh dan membakar? Negara Mesir sememangnya sinonim dengan “PYRAMID” sejak dari zaman pemerintahan Hosni Mubarak lagi.
  • Mengapa dikatakan negara “PYRAMID”? Hal ini kerana bilangan yang kaya raya itu mewakili golongan paling atas bahagian piramid dan terdiri daripada golongan pemerintah, sedangkan bilangan yang sangat miskin itu sangat besar jumlahnya mewakili bahagian paling bawah piramid. Oleh sebab itu, kemungkinan mereka diupah dan ditawarkan dengan jumlah wang yang besar tidak dinafikan.
  • Dan hanya kumpulan 3 serangkai yang menolak perbincangan tersebut iaitu Amru Musa, Hamdin Sobahi sebagai pengasas Gerakan Kebangsaan dan Dr.Mohammad El-Baradei, yang meletakkan syarat Morsi perlu membatalkan dekri yang berkaitan kekebalan dalam semua keputusan Morsi dan perkara berkaitan Presiden berhak mengambil apa-apa langkah bagi memelihara keamanan negara.
  • Penunjuk perasaan meraikan kejatuhan Mohamed Mursi di luar istana presiden di Kaherah Mesir

Apa akan terjadi selepas ini?

  • Dalam masa yang sama, pemimpin utama jihad, Al-Gamaa Al-Islamiya, Tarek El-Zomor memberi amaran kepada lawan-lawan politik Morsi agar tidak menjatuhkan pemerintahan Presiden Mesir itu.
  • ''Jika Presiden Morsi dijatuhkan secara tidak sah, Ikhwan Muslimin yang terkenal dengan sikap damainya akan masuk campur untuk membuka laluan kepada kelompok revolusi Islam menentang kelompok anarkis dan sekular," katanya.
  • Apa pun keadaannya, ternyata perkembangan terkini di Mesir yang memasuki usia dua tahun selepas berlaku Arab Spring masih meletakkan negara itu dalam keadaan tidak menentu.
  • Provokasi dan fitnahlah yang bakal menyaksikan Mesir kembali bermandi darah, manakala musuh-musuh Islam boleh tersenyum melihat betapa kalutnya jiwa yang ada dalam kalangan umat Islam.
  • Sikap tidak sabar, memancing emosi rakyat dan menjadikan demonstrasi jalanan sebagai platform untuk melakukan bantahan ternyata menjadi ancaman berterusan kepada pemerintah Mesir yang diyakini oleh diplomat-diplomat asing mampu memulihkan keadaan negara itu.
  • Oleh itu jadikanlah Mesir sebagai contoh bagaimana usaha murni kerajaan tidak akan tercapai jika ada pihak mahu berpolitik sepanjang masa sehingga ia akan memungkinkan negara kucar kacir dan rakyat menderita.

[Sumber]

1 comment

  1. Assalammualaikum...sentiasa panas,

    mengapa umat islam hari ini sentiasa berpecah belah sesama sendiri tidak bersatu,,,buang yang keruh ambil yang jernih... bukankan ini adalah agenda barat utk memecah belahkan umat islam...barat sendiri takut pada perpaduan umat islam itu sendiri... maka negara2 islam dilaga2 kan... agar negara barat "kuat" .. dengan propagandanya...

    mselim3

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon