Friday, June 07, 2013

Inilah Punca Jambatan Terpanjang Asia Tenggara Di Pulau Pinang Runtuh


Menurut laporan awal, ketidakstabilan besi penyokong pada struktur pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang dipercayai menjadi punca kepada runtuhnya struktur tersebut.


Semasa kerja-kerja pembinaan sedang dijalankan, didapati besi penyokong jambatan tersebut berada dalam keadaan tidak stabil dan akibatnya telah berlakunya runtuhan selepas itu.

Adakah bahan mentah import dari China yang diketahui umum tidak berkualiti punca berlaku malapetaka ini?

Projek pembinaan jambatan berharga kurang daripada RM4.5 bilion itu adalah usahasama antara China Harbour Engineering Company Ltd dan UEM Builders Bhd, yang bermula pada 2008 dan dijangka disiap pada November 2013.


Jambatan Kedua Pulau Pinang sejauh 24 kilometer itu merupakan yang terpanjang di Asia Tenggara apabila siap kelak, menghubungkan Batu Maung di bahagian Pulau dan Batu Kawan di bahagian tanah besar.

Dalam kejadian jam 7.15 malam itu, jalan kedua-dua arah dikatakan sibuk dengan kenderaan berikutan waktu pulang bekerja.

Seorang pemandu lori simen Ahmad Saad, 39, yang berada di tempat kejadian berkata, lima minit sebelum kejadian, dia bersama beberapa pekerja terdengar bunyi retakan disusuli penyambung konkrit rangka jambatan itu bergoyang dan runtuh.

Dia yang ketika itu berada di dalam lori melompat keluar dan terus berlari menyelamatkan diri sebaik melihat enam pekerja melarikan diri dalam debu yang melingkungi 200 meter kawasan jam kejadian.

Dia mendengar bunyi rekahan kira-kira lima minit sebelum memberitahu lapan pekerja yang ketika itu berada di atas penyambung jambatan yang sedang melakukan kerja konkrit.

“Tidak lama selepas itu, saya dan juga rakan melihat besi perancah penghadang konkrit bengkok sebelum kami terus melarikan diri meninggalkan lori,” kata pemandu lori konkrit itu.

Menurutnya, dia bersama seorang lagi rakan menghantar bancuhan konkrit menggunakan lori berhampiran lokasi kejadian.

“Sejurus melihat besi penghadang konkrit bergoyang kami terus melarikan diri dan menjerit memaklumkan lapan pekerja yang melakukan kerja konkrit di atas sambungan jambatan terbabit.

“Enam daripada mereka sempat lari menyelamatkan diri, manakala dua yang lain terjatuh bersama sisa runtuhan konkrit terbabit,” katanya.

Menurutnya, kejadian berlaku begitu pantas dan runtuhan struktur penyambung jambatan sepanjang 50 meter dan seberat 200 tan itu menyebabkan gegaran kuat bagaikan gempa bumi.

“Mendengar bunyi kuat itu, semua rakan kerja di tempat bancuhan konkrit kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian bergegas ke tempat runtuhan.

“Mereka menarik keluar dua pekerja yang tertimbus dalam sisa runtuhan konkrit terbabit dan saya sempat melihat kedua-duanya dalam keadaan parah dengan darah meleleh keluar melalui telinga dan hidung,” katanya.

Menurutnya, dia turut ternampak dua kereta orang awam yang menggunakan laluan di bawah binaan sambungan jambatan itu dihempap sisa runtuhan konkrit.

“Hingga sekarang saya masih terbayangkan kejadian yang berlaku di depan mata itu dan bersyukur kerana sempat melarikan diri,” katanya.

“Kami bernasib baik kerana lewat tiga saat, jika tidak pasti kami juga menjadi mangsa runtuhan jambatan ini,” kata dua sahabat, G Gajashaantini dan R Thilashantini, masing-masing berusia 24 tahun.

Mangsa runtuhan mungkin dibawa keluar selewat-lewatnya petang ini

Sementara itu, pasukan mencari dan menyelamat dijangka dapat mengeluar mangsa di dalam sebuah kereta yang terperangkap dalam kejadian runtuhan penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di Batu Maung selewat-lewatnya petang ini.

Timbalan Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata pasukan itu sedang menunggu jentera pemotong untuk memotong besi penyambung yang runtuh itu bagi membolehkan mangsa dibawa keluar.

Katanya runtuhan tanjakan konkrit dan besi itu terpaksa dipotong lebih kecil bagi memudahkan kerja mengalihkannya dibuat.

"Seramai 350 anggota dan pengawai yang terdiri daripada polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam, pekerja syarikat pembinaan dan kontraktor sedang bertungkus-lumus mengalihkan runtuhan konkrit dan besi seberat beratus-ratus tan itu.

"Jurutera yang bertugas memaklumkan mangsa yang terperangkap mungkin boleh dikeluarkan tengah hari ini atau selewat-lewatnya petang ini selepas bantuan jentera pemotong tiba," katanya pada sidang akhbar di tempat kejadian di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata setakat ini sekurang-kurangnya seorang mangsa di dalam sebuah kereta jenis Perodua Kelisa warna hijau terperangkap di dalam runtuhan berkenaan.

Beliau berkata menerusi kamera khas yang digunakan bomba mendapati terdapat seorang mangsa di bawah timbunan berkenaan, bagaimanapun identiti dan jantina mangsa belum dapat dikenal pasti kerana hanya beberapa bahagian badannya sahaja yang kelihatan.

"Mangsa juga tidak memberi sebarang respons dan bila dipanggil mangsa tidak menyahut. Saya percaya beliau berada dalam keadaan kritikal berdasarkan fizikalnya," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga sejak semalam supaya membuat laporan polis kerana maklumat yang diperoleh setakat ini berbeza-beza.

"Ada yang kata beberapa buah kereta dan motosikal terperangkap di dalam runtuhan itu, jadi saya minta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga supaya membuat laporan polis.

"Setakat ini kita cuma nampak sebuah kereta dan kita juga gagal untuk kenal pasti nombor pendaftaran kenderaan berkenaan berikutan ia telah pecah. Kita hanya nampak nombor (pendaftaran) 437 sahaja," katanya.

Abdul Rahim berkata operasi mencari dan menyelamat sejak 12 jam lepas itu berdepan beberapa kesukaran berikutan perlu menggunakan beberapa jentera termasuk kren seberat 300 tan.

"Pelbagai usaha sedang dijalankan oleh semua pihak dan kita mendapat kerjasama yang baik daripada syarikat kontraktor termasuk beberapa syarikat lain bagi membantu melancarkan kerja operasi ini," katanya.

-Hmetro/Bharian/Bernama

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon