Thursday, May 09, 2013

Panas! Pengundi Hantu Bantu Pakatan Menang Di Selangor?


Sebelum hari pengundian pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Ahad lepas, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendakwa kononnya ada usaha membawa masuk ramai pengundi hantu ke Selangor bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) di negeri ini.


Dakwaan sama turut dibuat oleh penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meletakkan angka kononnya lebih 40,000 pengundi hantu dibawa dari Bangladesh, Sabah dan Sarawak, dengan Selangor sebagai sasaran utama.

Tetapi bila keputusan PRU13 memihak kepada parti PAS, PKR dan DAP di negeri ini dengan mandat majoriti dua pertiga, faktor pengundi hantu ini tiba-tiba tidak berbangkit sekurang-kurangnya di kawasan yang mereka menang.

Logiknya jika benar ada pengundi hantu, merekalah yang memenangkan calon-calon parti Pakatan Rakyat ini. Kenapa bila kemenangan di pihak mereka, tuduhan itu tidak terpakai?

Hakikatnya bila PR memperoleh mandat itu, faktor pengundi hantu yang mahu dijadikan sebab kepada kemenangan BN, sudah tidak terpakai.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin telah menegaskan dakwaan itu hanyalah penipuan PR.

"Kalau ikut logik, hendak bawa 40,000 (warga) Bangladesh (perlu) menggunakan pesawat Boeing 747 yang hanya boleh memuatkan 400 orang ... bererti 100 buah pesawat terpaksa mendarat untuk membawa warga Bangladesh ini mengundi," katanya.


Sehingga kini tiada bukti diketengahkan pembangkang kerana dakwaan itu sememangnya tidak berasas dan mereka sudah tentunya tidak mahu memanjangkan lagi kisah Bangladesh ini kerana tempelaknya kepada mereka semula.

PRU13 menyaksikan PAS dan DAP masing-masing memperolehi 15 kerusi dewan undangan negeri manakala PKR memperolehi 14 kerusi di Selangor. BN yang telah difitnah dengan pengundi hantu, hanya memperoleh 12 kerusi.

Bekas pemimpin, penganalisis politik, pemimpin politik veteran dan ahli akademik yang ditemubual Bernama pada 2 Mei lepas telah menghidu strategi penipuan pengundi hantu itu, yang disifatkan mereka sebagai permainan psikologi terdesak pembangkang bagi meraih sokongan.

Mereka sependapat bahawa serangan itu bertujuan menggambarkan sistem pilihan raya negara ini tidak adil dan pembangkang teraniaya untuk meraih simpati rakyat Malaysia juga masyarakat antarabangsa.

Penganalisis politik, Prof Datuk Dr Zainal Kling berkata perasaan simpati daripada permainan psikologi itu dijadikan senjata bagi menyemai perasaan 'sakit hati' kepada BN yang didakwa kononnya berkonspirasi dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Impak permainan psikologi meraih simpati ini jelas dilihat dengan kemenangan besar PR di Selangor, malah BN pula memperoleh bilangan kerusi yang sedikit kerana secara realitinya tiada siapa yang mahu menggunakan pengundi hantu untuk kalah, apatah lagi kalah dengan majoriti besar.

Namun sehingga semalam, tanpa rasa bersalah dan malu PR tetap mempertahan penipuannya itu dan kali ini lebih kepada mendakwa SPR gagal melaksanakan pilihan raya yang bersih dan adil khususnya di Selangor.

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali mendakwa antara kerusi yang 'dicemari' dengan aduan salah laku ketika pengundian termasuk pengundi hantu itu ialah kerusi parlimen Shah Alam dan tiga kerusi dewan undangan negeri (DUN) iaitu Meru, Sekinchan dan Ijok.

Jika benar pengundi hantu wujud di empat kawasan itu, maka logiknya pengundi hantu ini menyumbang kepada kemenangan ketiga-tiga parti, iaitu PAS bagi kerusi parlimen Shah Alam dan kerusi DUN Meru, manakala PKR dan DAP masing-masing menang kerusi DUN Sekinchan dan kerusi DUN Ijok.

Malah mereka menang dengan majoriti selesa di kerusi Parlimen Shah Alam menyaksikan Khalid Abdul Samad menang dengan majoriti 10,939 undi, DUN Meru Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Rani Othman menang dengan majoriti 9,079 dan kerusi DUN Sekinchan menyaksikan Timbalan Setiausaha DAP Selangor Ng See Lim menang majoriti undi 2,239.

Namun apabila ditanya sama ada ketiga-tiga parti itu akan mengemukakan petisyen pilihan raya ke atas keputusan di Selangor khususnya empat kerusi itu, Azmin berdolak dalik dalam memberikan jawapan.

Setelah diasak wartawan, beliau berkata pihaknya akan meneliti dan mengkaji aduan yang diterima terlebih dahulu.

Pandai pula mereka mahu mengkaji dahulu sebelum bertindak atau bercakap apabila terkena batang hidung sendiri.

Penipuan isu pengundi hantu oleh PR ini sepatutnya menuntut rakyat, terutama yang menyokong atau percaya secara melulu tanpa menimbangkan logik tuduhan itu, lebih berhati-hati dalam reaksi dan tindakan mereka untuk tidak mengeruhkan dan menghuru-harakan proses demokrasi negara dalam memilih pemimpin dan kerajaan melalui PRU yang telus.

-BERNAMA

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon