Thursday, May 02, 2013

Kepada YB-YB Politik, Contohilah Kemuliaan Akhlak Saidina Umar Sebagai 'Hamba' Kepada Rakyatnya


Kepada YB-YB dan pemimpin negara diluar sana, contohilah akhlak Saidina Umar dalam menjaga kebajikan rakyatnya. 

Pemimpin

Hentikan adu domba, fitnah-memfitnah, caci mencaci dan menyebarkan keburukan semata-mata. Amanah yang diberikan bukan sebagai loncatan mencari kekayaan yang tidak terkira.

Berkunjung sendiri melihat kesusahan rakyat dan bantulah mereka. Bukannya takut huluran tangan mereka yang susah meminta bantuan, mereka yang anda semua rayu dan jenguk 4-5 tahun sekali.

Kepimpinan anda adalah amanah dan tanggungjawab berat, bukannya sumber untuk menyalahgunakan kuasa dan menjadi manusia 'mulia'.

Tolong baca kisah ini;

Kita telah biasa membaca kisah Saidina Umar bin Al-Khattab r.a ketika menjadi khalifah (pemimpin negara) dengan seorang ibu miskin yang memasak batu kerana anak-anaknya kelaparan. Tetapi pernahkah kita (yang menjadi pemimpin) ambil pengajaran dari kisah tersebut?

Saidina Umar r.a seorang yang bekerja keras dan teliti kerana beliau seorang hamba Allah yang sejati. Seorang khalifah (pemimpin negara) mestilah mengambil berat tentang keadaan rakyat di dalam negaranya, seperti seorang ayah yang mengambil berat tentang anak-anaknya.

Saidina Umar r.a. cuba sedaya upaya untuk berbuat demikian. Di waktu siang pula beliau biasanya bekerja di rumah. Di waktu malam pula beliau sering keluar melakukan rondaan ke bandar Madinah dan kawasan persekitaran untuk melakukan siasatan sendiri

Beliau ingin mengetahui keadaan sebenar rakyat jelata dibawah kerajaan pimpinannya serta membantu setiap orang yang memerlukan bantuan.

Pada suatu malam, Umar r.a dan pembantunya Aslam telah keluar menyamar dan membuat rondaan ke suatu tempat bernama Harrah.

Tiba di satu tempat di sebuah rumah kecil yang usang di pinggir desa, Umar dan Aslam mendapati ada seorang wanita dan beberapa orang anak yang sedang menangis kelaparan. Kelihatan seorang ibu yang dikelilingi anak-anaknya sedang memasak sesuatu di dalam periuk.

Wanita itu kelihatan sangat sedih manakala anak-anaknya kelihatan sangat lapar. Sadina Umar r.a melihat terdapat sebuah periuk yang sedang menyala api di bawahnya.

Dalam fikirannya tentu ada makanan di dalam periuk itu dan setelah wanita itu menghidangkannya, tentu anak-anak itu akan berhenti menangis.

Walau bagaimanapun, setiap kali anak-anaknya menangis, si ibu akan berkata “Tunggulah sebentar, makanan ini sedang ibu masak...”

Saidina Umar memerhati dari jauh dan berasa hairan kerana ucapan tersebut diulangi beberapa kali...walaupun si ibu telah memasak untuk tempoh masa yang agak lama.

Sadina Umar r.a. melihat dan menunggu sementara isi di dalam periuk itu terus mendidih tetapi wanita itu masih tidak memberikan anak-anaknya makanan. Akhirnya beliau menjadi hairan. Wanita tersebut telah mengungkit-ungkit rasa tidak puas hati kepada Pemimpin Negara (Umar r.a) kerana tidak membantunya.

Saidina Umar memberanikan diri untuk menyiasat perkara tersebut, beliau memberi salam dan meminta izin untuk memasuki rumah itu.

Lalu dia bertanya kepada ibu tua itu, “ Mengapa anak-anak ibu tidak berhenti menangis?”

Dia memberitahu Saidina Umar r.a. yang mereka menangis kerana lapar.

“Mengapa tidak diberikan makanan yang ibu masak dari awal tadi ? ” Umar r.a. bertanya

'Tidakkah makanan dalam periuk itu sudah masak?' tanya Saidina Umar r.a. lagi.

Wanita tersebut menerangkan bahawa dia tiada makanan untuk diberi kepada anak-anaknya. Wanita itu menghampiri Saidina Umar r.a dan berbisik ke telinganya.

“Sebenarnya tidak ada makanan di dalam periuk itu. Periuk itu hanya berisi batu untuk mendiamkan anak-anak saya, tetapi anak-anak saya fikir tentu ada makanan di dalam periuk. Mereka sekarang kelaparan tetapi saya terus menunggu hingga mereka letih, mereka tentu akan tertidur. Kemudian mereka akan terlupa rasa lapar. Biarlah mereka fikir bahawa saya sedang memasak makanan dan saya berharap supaya mereka akan berhenti menangis kerana keletihan dan tertidur".

Setelah anak-anaknya tidur, wanita itu menerangkan kepada Saidina Umar r.a yang suaminya baru sahaja meninggal dunia. Itulah sebabnya dia tidak mempunyai duit untuk membeli makanan.

Malangnya orang yang menguruskan Baitul Mal tidak tahu akan kesusahan yang ditanggung oleh wanita itu. Jika mereka tahu, tentu mereka akan menolong.

“Apakah ibu sering berbuat begini?” Tanya Umar ingin tahu.

“Benar, Saya hidup sebatang kara.... tidak memiliki saudara-mara dan suami tempat bergantung.” Jawab ibu tadi dengan nada kesal sambil berusaha menyembunyikan keperitan hidupnya.

Kemudian, Saidina Umar r.a. yang merasa kasihan dengan wanita miskin itu berkata: "Kenapa ibu tidak adukan perkara ini kepada khalifah? Bukankah beliau boleh membantu dengan memberikan wang dari Baitulmal? Dengan cara itu akan dapat membantu meringankan kehidupan ibu dan anak-anak.” nasihat Umar.

"Aku seorang perempuan" jawab wanita itu.

“Khalifah telah berbuat zalim pada kami anak-beranak…” kata si ibu lagi.

Maka terkejutlah Saidina Umar mendengarkan ucapan ibu tua itu tadi.

“Bagaimana khalifah telah berbuat zalim pada ibu? Terangkan kepada saya..” Saidina Umar bertanya lagi.

“Saya sangat kesal dengan pemerintahannya. Beliau seharusnya melihat keadaan rakyatnya dalam kehidupan nyata, terdapat ramai lagi orang yang senasib dengan saya...”.

Mendengar luahan ibu tadi, Umar menangis teresak esak mendengar keluhan wanita tersebut sehingga airmata beliau membasahi jubahnya.

Selesai mendengar cerita sedih wanita tersebuat, beliau terus bingkas bangun keluar daripada rumah wanita miskin tersebut dan berlari ke Baitul Mal dan memasukkan tepung, daging dan gula ke dalam sebuah karung.

Sebaik sahaja beliau hendak membawanya balik kepada wanita itu, salah seorang suruhannya menawarkan diri untuk membawakan karung itu.

"Biar aku sendiri yang membawa karung ini." kata Saidina Umar r.a.

"Adakah engkau sanggup memikul dosa-dosaku di akhirat kelak?"

"Di hari pengadilan nanti engkau tidak akan dapat memikul bebanan-bebanan aku, jadi tidak ada sebab kenapa engkau mesti membawanya hari ini."sambungnya lagi.

Khalifah memikul karung yang sarat berisi makanan itu ke rumah wanita tersebut. Bila beliau sampai, beliau sendiri yang memasakkan makanan untuk anak-anak itu dan malah beliaulah yang memberi mereka makan. Ibu tua tersebut menyatakan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Saidina Umar r.a.

Sebaik sahaja beliau hendak meninggalkan rumah itu, wanita itu berkata kepadanya,

"Engkaulah yang sepatutnya menjadi khalifah, bukannya Umar r.a.. Engkau baik, murah hati dan faham perasaan orang. Itulah sepatutnya yang ada pada seorang khalifah (pemimpin negara)."

Dia tidak tahu bahawa yang menolongnya itu adalah Khalifah Umar.

Keesokannya Saidina Umar telah memanggil Ibu tua itu untuk datang menghadapnya. Alangkah terkejutnya Ibu tua itu apabila melihat Khalifah zalim yang disangkakannya itu adalah sebenarnya lelaki yang datang membantunya pada malam tadi.

"Puan, kata khalifah, "Akulah Umar".

Adalah kesalahan aku kerana tidak mengetahui kesusahan engkau. Tetapi sekarang anak-anakmu telahpun makan dan dapat tidur dengan sukacita. Aku juga telah mengatur mulai hari ini, Baitul Mal akan memberi sumbangan kepada engkau supaya engkau dapat menyara mereka secara sempurna sehinggalah mereka dewasa."

Khalifah Umar telah menghadiahkannya wang serta segala keperluan hidup dan merayu kepadanya supaya berjanji untuk tidak MENDAKWANYA di hadapan Allah Azza wa Jalla di akhirat kelak

Masya Allah!!

Sampai macam itu sekali 'tawadhu' dan takutnya Umar pada kemurkaan Allah S.w.t. Ini lah sebenarnya yang dikatakan Amirul mukminin, iaitu "pemimpin kepada orang-orang mukmin".

Inilah contoh tauladan yang sebaiknya dicontohi.

Sedangkan Umar r.a telah dijanjikan syurga oleh Nabi Muhammad s.a.w, tetapi beliau masih lagi takut akan disoal di akhirat kelak mengenai kepimpinannya, apatah lagi kita yang langsung tidak dijanjikan syurga.

Bayangkan kita sekarang jika menjadi pemimpin negara, adakah kita masih boleh hidup mewah dan bersuka-ria sedangkan ada rakyat yang hidup miskin dan dalam kesusahan?

Disebabkan kos sara hidup yang semakin tinggi ramai lagi yang hidup kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Sementara para pemimpin kita sibuk dengan kekayaan yang dimiliki!

Sahabat yang dikasihi..

Begitulah ciri-ciri pemimpin yang adil dan bertanggungjawab yang sentiasa prihatin di atas kesusahan rakyat jelata yang memerlukan bantuan daripada Baitul Mal.

Adakah pemimpin kita pada masa ini memiliki sifat amanah dan prihatian seperti yang ditunjukkan oleh Khalifah Umar al-Khattab r.a?

Adakah pemimpin yang ada dalam masyarakat sentiasa istiqamah dengan ajaran Islam atau bersikap pecah amanah dan menyalahgunakan kuasa yang ada?

Adakah ada pemimpin kita yang sanggup bergadai untuk membantu masyarakat yang susah atau sekurang-kurangnya bertanya masalah rakyat tanpa menyerahkan bulat-bulat kepada JABATAN-JABATAN KEBAJIKAN yang berat sebelah dan hampir tidak berfungsi?

Atau, adakah pemimpin kita sekarang hanya berfungsi menyebar kesalahan sesama mereka?

Tidak kiralah parti mana, tapi contohkan kepada kita mana-mana pemimpin daripada kerajaan ataupun pembangkang yang mempunyai sifat terpuji dan mulia seperti kisah ini! 

Ada tak?

BACA INI JUGA: Hilangkah Sudah Kebebasan Bersuara Di Malaysia?

-SENTIASAPANAS.COM

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon