Tuesday, May 07, 2013

Anwar Belum Sedia Bersara Dari Politik


Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lagi bersedia untuk berhenti daripada politik walaupun pernah berkata bahawa dia mungkin bersara untuk menjadi pensyarah di Eropah jika Pakatan gagal dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) .


Sebaliknya, pemimpin PKR telah berikrar untuk menumpukan tenaga masanya untuk memerangi penipuan pilihan raya, yang beliau dakwa berleluasa sepanjang PRU13.

“Datuk Seri Najib Razak dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memilih untuk mengabaikan kehendak rakyat demi kepentingan mereka sendiri walaupun sewaktu pengumuman awal mereka inginkan pilihan raya yang bebas dan adil,” kata Anwar dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Anwar berkata bahawa SPR harus bertanggungjawab kerana telah “bersubahat dalam penipuan pilihan raya paling buruk dalam sejarah kita.”

Beliau berkata, perjuangan untuk pilihan raya yang bersih dan adil adalah satu perjuangan yang paling penting untuk mana-mana rakyat Malaysia.

Anwar merujuk kepada pergerakan yang diterajui oleh pemerhati pilihanraya Bersih 2.0, yang telah berjaya menarik perhatian beribu-ribu rakyat untuk melakukan demonstrasi di seluruh Malaysia untuk menuntut pilihanraya yang bebas dan adil.

Pada hari pengundian semalam, banyakdakwaan penipuan- termasuk pengundi hantu terutamanya yang dikatakan orang asing, dan kemungkinan mengundi dua kali dengan dakwat kekal yang mudah dibersihkan telah muncul.

“Saya akan menumpukan masa saya dan tenaga yang terbaik untuk bekerja dengan BERSIH dan rakyat Malaysia untuk memastikan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya yang baru ditubuhkan dan bebas hendaklah berada di tempatnya secepat mungkin untuk membetulkan penipuan pilihan raya,” kata Anwar.

Beliau menekankan hakikat bahawa Pakatan Rakyat memenangi undi popular dengan margin yang besar (50.3%, berbanding dengan BN 46.8%), dan berkata bahawa ini “mengesahkan mandat yang diberikan kepada kami.”

“Hati nurani kita tidak boleh membenarkan kita untuk menerima keputusan pilihan raya yang dijelmakan melalui penipuan, hati saya dengan setiap rakyat Malaysia yang tidak menerima keputusan PRU13 ini.”

Anwar akan berucap dalam satu ceramah yang akan diadakan pada Rabu di Petaling Jaya, berkata beliau akan terus mempersoalkan kesahihan kerajaan BN yang dicapai melalui proses pilihan raya yang didakwa tidak bersih.

Sementara itu, Ketua Pemuda BN dan UMNO Khairy Jamaluddin menggesa Anwar untuk memberhentikan misinya untuk mempersoalkan proses pilihan raya.

-Awani

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon