Friday, April 26, 2013

Tian Chua Nafi Fitnah Umno Isu Lahad Datu


Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Chua Tian Chiang atau Tian Chua menafikan beliau mengeluarkan kata-kata fitnah terhadap Umno berhubung pencerobohan militan di Lahad Datu, Sabah.


Tian Chua menerusi pernyataan pembelaan yang diserahkan kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata kenyataannya itu adalah komen yang wajar dan terlindung di bawah 'keistimewaan bersyarat' sebagai ahli Parlimen dan demi kepentingan awam.

Hakim Rosilah Yop yang mendengar kes itu di dalam kamar menetapkan 13 Mei untuk pengurusan kes.

Pada 11 April lalu, Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh memfailkan saman fitnah terhadap Tian Chua dan dua yang lain berhubung artikel yang diterbitkan dalam portal KeadilanDaily.com. berkaitan insiden pencerobohan tersebut.

Selain Tian Chua, Ab Rauf turut menamakan Editor KeadilanDaily.com Fazallah Pit dan penulis artikel itu Aisha Geoffrey sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutan, Ab Rauf mendakwa Tian Chua mengeluarkan kata-kata fitnah di dalam artikel "Insiden tembakan di Lahad Datu konspirasi terancang Umno" yang telah dilaporkan dan diterbitkan oleh KeadilanDaily pada 1 Mac lepas ketika ditemu ramah oleh wartawan portal itu.

Beliau juga menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan, permohonan maaf secara bertulis oleh defendan untuk diterbitkan dalam semua akhbar, faedah, kos dan lain-lain perintah selanjutnya yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

-Bernama

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon