Wednesday, April 17, 2013

Tahukah Anda Kenapa Manusia Mengigau?


Tahukah Anda? Ramai orang tidak sedar apa yang dilakukannya ketika tidur seperti mengigau, menggetap gigi, malah berjalan. Apa yang berlaku biasanya hanya diketahui setelah diberitahu oleh teman tidur. Tetapi, apakah yang menyebabkan tingkah laku itu?


Mengigau dikategorikan sebagai parasomnia yang bermaksud tingkah laku abnormal atau luar biasa, semasa tidur.

Keadaan itu amat biasa berlaku dan tidak dianggap sebagai masalah perubatan. Suatu tinjauan pendapat pada 2004 mendapati satu daripada 10 orang mengigau beberapa malam dalam seminggu.

Punca orang mengigau biasanya dikaitkan dengan ubat-ubatan tertentu, emosi, tekanan, demam, gangguan kesihatan mental, dan penyalahgunaan zat.

Menurut pakar psikiatrik dari Universiti Hassanudin, Dr. Erlyn Limoa, mengigau adalah sebahagian daripada mimpi.

Secara teori, mimpi adalah sesuatu yang dipendam dalam minda di bawah sedar. Kadang-kadang, apa yang dibicarakan sebelum tidur juga masuk ke dalam minda bawah sedar.

Dalam keadaan bermimpi itulah, seseorang boleh tiba-tiba bercakap atau menggumam.

Namun itu bukanlah tanda yang menunjukkan bahawa pelakunya sedang menanggung beban fikiran. "Meski pun ia bukan beban fikiran, perbualan yang serius boleh terbawa-bawa dalam mimpi," katanya.

Jelas Dr. Erlyn, mengigau tidak berbahaya kerana ia hanyalah mainan tidur. Setakat ini, belum ada cara untuk menghentikan kebiasaan itu.

"Selagi ia tidak mengganggu dan tidak merugikan orang yang mengalaminya, tiada sebab ia perlu dirawat," ujar Dr. Erlyn.

Lain halnya pula jika seseorang mempunyai kebiasaan berjalan semasa tidur.

"Kebiasaan tersebut boleh mendatangkan bahaya. Cuba dibayangkan, apabila seseorang berjalan dalam keadaan tidur, ia mungkin terlanggar sesuatu," katanya.

Belum banyak kajian yang dibuat mengenai kebiasaan berjalan dalam tidur. Biasanya, mereka yang mengalaminya jarang-jarang mendapatkan rawatan atau mendapatkan nasihat pakar psikiatri kerana menganggap keadaan itu tidak membahayakan.

Berjalan dalam tidur berlaku akibat pengaruh gelombang tidur. "Ada kemungkinan gelombang tidur pesakit tidak sampai ke dalam tidur yang nyenyak.

 Mereka yang mengalami keadaan seperti itu dinasihatkan supaya berjumpa dengan doktor. Pesakit mungkin akan diberikan ubat bagi membantunya tidur dengan lebih nyenyak," katanya.

Mengenai kemungkinan pulih daripada keadaan itu, Dr. Erlyn menjelaskan bahawa rawatan terhadap kebiasaan berjalan dalam tidur tidak boleh disamakan dengan rawatan terhadap mereka yang menghidapi penyakit.

 Orang yang menghidap penyakit dapat disembuhkan dengan hanya makan ubat. Sebaliknya bagi tabiat tidur yang luar biasa seperti berjalan dalam tidur, usaha yang boleh dilakukan hanyalah mencegahnya dengan memperbaiki pola tidur. Biasanya doktor menyarankan agar orang berkenaan bertenang sebelum tidur.

Oleh kerana ia boleh mengundang bahaya, Dr. Erlyn menyarankan agar orang yang mempunyai kebiasaan berjalan dalam tidur untuk berjumpa dengan ahli psikologi.

 Jika keadaannya sudah serius, misalnya dia berjalan dalam tidur sebanyak dua hingga tiga kali dalam seminggu, barulah dia disyorkan berjumpa pakar psikiatri.

[Sumber]

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon