Thursday, April 18, 2013

Pertarungan Paling Panas PRU 13 Di Sabah


Dalam pertembungan akhir antara adik-beradik terkenal di Sabah, keluarga Kitingan, Presiden Parti Bersatu Sabah(PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan sekali lagi akan bertemu adiknya Datuk Dr Jeffrey, di kerusi Parlimen Keningau.

Pairin Kitingan (kiri) dan Jeffrey Kitingan

Pertarungan itu menghangatkan suasana pilihan raya dalam komuniti Kadazandusun Murut, yang menganugeah gelaran Huguan Siou atau Ketua Agung kepada Pairin.

Semalam, Pairin yang ditemui selepas pelancaran Gelombang Biru Barisan Nasional (BN) dan jentera pilihan raya negeri oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman di Penampang di sini, berkata beliau akan mempertahankan kerusi Keningau dan kerusi dewan undangan negeri (DUN) Tambunan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) 5 Mei ini.

Kini berusia 72 tahun, Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri menyifatkan PRU13 sebagai perjuangan akhirnya untuk mengekalkan kedua-dua kerusi berkenaan, yang merupakan kubu kuat BN, dan untuk penduduk Sabah.

PBS ialah antara parti anggota komponen BN Sabah.

Dr Jeffrey, 65, yang juga Pengerusi Parti Reformasi Negeri Sabah (Star), pada Isnin mengesahkan akan sekali lagi bertanding di Keningau setelah kalah kepada abangnya pada pilihan raya umum lepas, dan kerusi DUN Bingkor, yang beliau turut tewas pada masa yang sama.

Pada pertarungan pertama kedua beradik itu pada 2008, Pairin menang kerusi Keningau dengan 4,264 majoriti dalam perlawanan tiga penjuru, termasuk Jeffrey.

Beliau mengekalkan kerusi Tambunan dengan majoriti 2,781 menewaskan Mozes Michael Iking, dari PKR.

Pairin yang menceburi politik pada 1974, dan tokoh yang dipandang tinggi di Sabah, menggesa penduduk supaya terus menyokong BN bagi merealisasikan Program Transformasi Kerajaan dan Wawasan 2020 untuk mencapai status negara maju.

"Kami tahu rakyat akan membuat penilaian bijak dan memilih BN berbanding pembangkang yang tidak bersatu dan tidak boleh dipercayai," katanya.

Pada PRU13, beliau berkata PBS akan menurunkan beberapa muka baharu. PBS memenangi tiga kerusi parlimen dan 12 DUN pada 2008.

-Bernama

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon