Wednesday, January 16, 2013

Top 10 Pantai Peranginan Yang Sangat Indah


Info Top 10. Bagi kebanyakan orang di negara bermusim, percutian musim panas sering dikaitkan dengan satu perkataan iaitu pantai. Cabaran untuk mencari sesebuah pantai yang sempurna dan bertaraf dunia sememangnya mengujakan para pelancong sejak sekian lama.

Tentunya sukar untuk mencari jawapan yang tepat kerana ia bergantung kepada penilaian seseorang individu itu sendiri.

Walau apapun alasannya, mencari sesebuah pantai yang sempurna bergantung kepada tiga 'resipi' asas iaitu cahaya matahari, pasir pantai dan panorama menakjubkan di sekitarnya.

Pantai La Minitas, Republik Dominica


Pantai yang terletak di Republik Dominica itu terkenal dengan kecantikan dan ketenangannya.

Bersih, jauh daripada sebarang pencemaran dan dikelilingi panorama indah, pengunjung pasti tidak akan menyesal sekiranya memilih republik itu sebagai destinasi percutian.

Pantai La Minitas hanya memakan masa 10 minit perjalanan dengan menggunakan bas shuttle. Ia merupakan lokasi terbaik bagi pengunjung yang suka berjemur dalam suasana privasi.

Biarpun kedudukannya agak terpencil, pengunjung tidak akan kelaparan kerana terdapat banyak restoran di sekelilingnya. Lebih menarik, terdapat perkhidmatan spa dan urutan yang ditawarkan di tepi pantai.

White Beach, Boracay, Filipina


Mempunyai pesisiran pantai yang halus memutih sepanjang lebih dua kilometer, White Beach atau Pantai Putih dianggap syurga bagi peminat-peminat aktiviti pantai di seluruh dunia.

Persekitarannya memukau dengan keaslian semula jadi yang tidak pernah terusik sejak 30 tahun lalu.

Dikelilingi perkampungan nelayan, ia menjanjikan kepuasan kepada pengunjung yang mahu merasai suasana percutian dalam iklim tropika.

Masa terbaik untuk berkunjung ke situ ialah ketika musim Amihan (monsun barat laut) bermula dari September hingga Jun. Ketika itu, suhunya agak sederhana dengan sedikit hujan dan angin sejuk yang lazim bertiup dari Timur.

South Beach, Miami, Florida, Amerika Syarikat


Sejak sekian lama, South Beach menjadi pilihan pelancong yang mahu merasai imej mewah dan glamornya.

Bagaikan sebuah jenama yang tidak perlu diterjemahkan, pantai itu sesak dengan pengunjung yang mahu merasai budaya keriangan pantai ala Amerika.

Selain itu, pantai tersebut menjadi tumpuan kerana kehadiran wanita-wanita seksi berpakaian mandi atau lelaki yang berotot sasa.

Dikelilingi ratusan hotel mewah, pusat membeli-belah, restoran dan kelab malam, ia menawarkan pelbagai aktiviti dan hiburan tanpa henti sehingga ke malam.

Sepanjang berada di situ juga pengunjung mungkin terserempak dengan selebriti Holywood kesayangan yang sedang memandu kereta mewah atau membeli-belah.

Pantai Merah Santorini, Akrotiri, Kepulauan Greece


Jika mahu menikmati percutian unik sambil menyaksikan landskap istimewa, Santorini Red Beach (Pantai Merah Santorini) berbaloi untuk dikunjungi.

Pertembungan warna biru air laut, rona merah daripada pasirnya yang halus dan puncak gunung berapi di sekelilingnya menghasilkan landskap unik dan tiada yang seumpamanya di dunia.

Biarpun kawasan pantainya agak kecil, namun ia sangat popular dan sering menjadi tumpuan pelancong untuk bersantai.

Perlu diingat, tiada sebarang kemudahan asas disediakan kecuali sebuah gerai yang menyewakan payung dan kerusi pantai. Anda perlu membawa makanan dan minuman sendiri sekiranya mahu berada di situ lebih lama.

Pantai Tulum, Mexico


Mexico sememangnya terkenal dengan keindahan bandar raya dan pantainya yang mempesona.

Terletak kira-kira 80 kilometer dari Cancun, Tulum terkenal sebagai kawasan yang menyimpan sejarah silam puak Maya satu ketika dahulu.

Di samping nilai sejarahnya yang hebat, ia juga memiliki pantai yang tidak kurang hebatnya, Pantai Tulum.

Pasir pantai yang halus memutih dan air laut yang jernih menjadi tarikan ideal bagi pelancong yang mahu berada jauh daripada kesesakan orang ramai dan hiruk-pikuk kota.

Pantai Arambol, Goa, India


Mudah untuk mengetahui mengapa Pantai Arambol yang terletak di wilayah Pernem, utara Goa, terus masyhur.

Mudah diakses dan terletak hanya satu jam pemanduan dari Lapangan Terbang Dabolim, Arambol yang terkenal dengan imej pasir berwarna kuning emas kekal sebagai antara rahsia yang masih belum diterokai sepenuhnya di India.

Dikelilingi pokok-pokok palma dan kolam-kolam air tawar, ia menawarkan suasana percutian yang diidamkan oleh pelibur yang mencari ketenangan tropika.

Popularitinya telah menyebabkan pesisir pantainya meriah dengan binaan kafe dan restoran serta peniaga jalanan yang menjual pelbagai produk kraftangan.

Terdapat sebuah menara penyelamat pantai disediakan bagi menjami keselamatan pengunjung sepanjang berada di situ.

Pantai Teluk Hanalei, Kauai, Hawaii


Sekiranya suasana pantai dan landskap ala imej poskad menjadi syarat utama percutian anda pada masa hadapan, Hanalei Bay Beach (Pantai Teluk Hanalei) pasti tidak akan menghampakan.

Pantai teluknya yang berbentuk melengkung cukup indah dengan kehalusan pasir dan lautnya yang membiru.

Kehadiran air terjun serta gunung-ganang yang gah di sekelilingnya sudah cukup meletakkan Hanalei Bay Beach berada dalam kelas yang tersendiri.

Ia mungkin agak sesak terutama menjelang musim sejuk, bagaimanapun kelebihan yang ditawarkan pasti memberi kenangan manis yang sukar dilupakan.

Pulau Ocracoke, Carolina Utara, Amerika Syarikat


Sekiranya anda memilih percutian yang penuh privasi, sukar untuk menolak apa yang ditawarkan di Pulau Ocracoke.

Lokasinya yang agak terpencil membuatkan ia hanya dapat diakses menggunakan bot, feri atau kapal terbang persendirian.

Sepanjang bercuti di pulau itu, pengunjung bukan sahaja berpeluang menikmati kedamaian suasana pantainya malah bebas daripada pengaruh teknologi moden pada hari ini.

Ya, Ocracoke tidak dilengkapi jaringan talian telefon atau internet, maka sepanjang tempoh percutian di situ anda terlepas daripada gangguan yang menyesakkan fikiran.

Pulau itu juga turut menempatkan perkuburan tentera-tentera British yang terbunuh sewaktu Perang Dunia Kedua dahulu. Upacara peringatannya diadakan pada bulan Mei setiap tahun.

Pantai Ipanema, Rio de Janeiro, Brazil


Terletak di selatan bandar raya Rio de Janeiro di antara Leblon dan Arpoador, Ipanema merupakan pantai yang popular di Brazil.

Sejak tahun 70-an lagi, namanya sering menjadi sebutan peminat-peminat aktiviti dari seluruh dunia.

Dikurniakan kawasan pantai yang luas, Ipanema Beach bukan sekadar lokasi bermandi-manda.

Ia juga dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti bola tampar pantai dan bola sepak pantai yang sememangnya sinonim di negara Latin itu.

Pada musim sejuk, ombaknya mampu mencecah ketinggian 0.3 meter sekali gus menjadi tumpuan dalam kalangan peluncur-peluncur ombak yang mahu menguji skil masing-masing.

Populariti yang diraihnya juga menyebabkan namanya diabadikan dalam judul lagu The Girl From Ipanema, karya Antonio Carlos Jobim dan Vinicius de Moraes.

Aroa, Aitutaki, Kepulauan Cook


Berbanding pulau-pulau kecil lain yang membentuk Kepulauan Cook pada hari ini, Pantai Aroa yang terletak di Pulau Aitutaki sememangnya layak digelar sebagai juara.

Suasana damai, tenang dan dikelilingi lagun unik berwarna biru firus, Aroa memiliki pantai yang hampir sempurna dengan kehijauan alam semula jadi.

Kejernihan air laut dan kekayaan terumbu karang dan hidupan laut yang masih terpelihara menyebabkan ia dianggap syurga bagi penggemar-penggemar aktiviti snorkeling dan menyelam.

Menawarkan suasana percutian iklim tropika, Aroa pastinya menjanjikan pengalaman romantis kepada sesiapa jua yang bertandang.

BACA INI JUGA: Pantai Gafsa, Tasik Misteri Ditengah Padang Pasir

[Sumber]

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon