Thursday, January 31, 2013

Benarkah Bahawa Cicak Mesti Dibunuh?


Ramai yang bertanya soalan ini kepada saya. Kenapa Islam memberi kelebihan tertentu untuk membunuh cicak? Apakah itu kerana ia pernah meniupkan api yang membakar Nabi Ibrahim?

cicak

Jika benar, mengapa kerana kesalahan seekor cicak ratusan tahun lalu, semua cicak mesti dibunuh hingga ke hari ini?

Sebelum menjawab soalan ini, saya hendak menegaskan satu prinsip. Setiap perintah Rasulullah SAW mestilah mengandungi hikmah tertentu, sama ada kita dapat mengetahui hikmah itu ataupun tidak.

Namun begitu, setiap kali berbincang tentang perintah ataupun larangan Nabi SAW, kita mesti pastikan terlebih dahulu status kesahihan hadis yang mengandungi perintah atau larangan tersebut.

Ini kerana, menisbahkan suatu ucapan palsu kepada Nabi SAW sebuah dosa besar menurut para ulama.

Hadis yang mengandungi perintah membunuh cicak adalah sahih berasal daripada Nabi SAW. Antaranya hadis riwayat Muslim daripada Saad bin Abi Waqqas bahawa Nabi memerintahkan untuk membunuh cicak dan menyebutnya sebagai haiwan perosak (fuwaisiq).

Berdasarkan hadis di atas, para ulama sepakat menyatakan sunat membunuh cicak. Sebabnya kerana cicak termasuk haiwan perosak, pengotor dan boleh membawa penyakit. Atau dalam hadis Saad bin Abi Waqqas di atas, ia termasuk fuwaisiq.

Dalam istilah moden, kita boleh mengatakan bahawa cicak termasuk dalam kategori pest (perosak) seperti; nyamuk, kutu, tikus, pijat, lipas dan lain-lain. Semua haiwan ini digalakkan untuk dibasmi demi menjaga kesihatan manusia.

Berkata Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim: "Nabi memerintahkan dan menggalakkan untuk membunuh cicak kerana ia termasuk mu'ziyat (haiwan-haiwan yang dapat mengganggu kesihatan manusia)."

Jadi, sama sekali tidak benar sangkaan bahawa kerana kesalahan cicak seekor, semua cicak mesti dibunuh hingga ke hari ini.

Kisah cicak meniup api yang membakar Nabi Ibrahim memang sahih. Al-Bukhari meriwayatkan, Nabi memerintahkan Ummu Syarik untuk membunuh cicak.

Baginda bersabda, "Ia pernah meniup api pembakaran Nabi Ibrahim (untuk menyalakannya)."

Namun hadis ini sama sekali tidak menunjukkan bahawa perkara itu tidak menjadi 'illat (penyebab) suruhan tersebut.

Menurut al-Baidawi, ini menunjukkan betapa kotor dan buruknya cicak sehinggakan syaitan boleh memperalatkan (cicak) untuk meniup dan menambah besar api yang membakar Nabi Ibrahim.

Jadi, lagi-lagi perbincangan kembali kepada sifat perosak dan kotor haiwan kecil ini. Sifat inilah yang menjadi sebab utama mengapa Islam memerintahkan untuk membunuhnya. Bukan kerana motif balas dendam atau perkara lainnya.

Adapun hadis al-Nasa'i dan Ibnu Majah yang menceritakan bahawa Siti Aisyah menyiapkan sebuah tombak untuk membunuh cicak, itu adalah hadis lemah.

Dalam hadis tersebut, Rasulullah SAW menceritakan bahawa semasa Nabi Ibrahim dilempar ke dalam api, semua haiwan berusaha memadamkannya kecuali cicak.

Haiwan ini malah meniup untuk menyalakan api, maka sebab itulah Rasulullah memerintahkan untuk membunuhnya.

Dalam sanad hadis ini terdapat kecacatan yang melemahkannya.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA: Cicak Gecko Bernilai RM1 Juta Menjadi Rebutan!

Sumber: utusan

1 comment

  1. Assalammualalikum..sentiasa panas,

    perkongsian yang bagus dan menarik... sanad ini terdapat kelemahannya kan...

    mselim3

    pls: kekadang kita dapat ilmu melalui orang2 tua cakap...sumber x tahu...

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon