Saturday, November 03, 2012

Pencuri Tertangkap Selepas Tidur Kekenyangan


Perbuatan seorang pencuri yang menjamu selera dengan nasi berlauk daging di rumah banglo tiga tingkat yang dicerobohinya membawa padah apabila ditangkap selepas tertidur kekenyangan di atas sofa di depan televisyen.


Dalam kejadian di Jalan Dato’, dekat sini pada Selasa lalu itu, kehadiran lelaki itu disedari pemilik rumah, Kamsiah Wan Othman, 59, kira-kira jam 8.15 pagi ketika mahu mengemas bilik tidurnya sejurus menunaikan solat Subuh dan menyediakan sarapan.

Lebih mengejutkan, daripada sisa nasi yang dimakan dipercayai pencuri berumur 35 tahun itu membawa bekalnya sendiri kerana nasi berlaukkan daging dan pinggan yang digunakan bukan milik tuan rumah.

Anak Kamsiah, Faisal Zainal Nordin, 30, berkata, sebelum keluar dari bilik tidur untuk mengambil wuduk kira-kira jam 6 pagi, ibunya menyedari terdapat tiga beg dan satu bungkusan di laluan keluar dari bilik tidur tetapi menyangka ia milik adik-beradiknya yang lain.

“Apabila selesai menyediakan sarapan dan mahu masuk ke bilik tidur semula, mak terkejut melihat seorang lelaki nyenyak tidur di atas sofa di tingkat dua rumah, sebelum mak bertanya kepada saya sama ada membawa kawan tidur di rumah atau tidak ketika saya sampai di rumah mak kira-kira jam 8 pagi.

“Terkejut dengan pertanyaan mak saya segera pergi melihat lelaki itu lantas mengejutkannya daripada tidur dan ketika itu berlaku pergelutan kerana dia cuba melarikan diri sebelum berjaya ditangkap. Pada masa sama, adik saya, Saifullah, 21, menghubungi polis,” katanya sambil mengakui banglo itu dihuni ibu bapanya, dua adiknya dan seorang anak saudara.

Katanya, bapanya, seorang merupakan pengusaha kilang papan yang terlebih dahulu bangun daripada tidur untuk ke masjid juga tidak menyedari kehadiran lelaki berkenaan di rumah mereka.

Apabila diperiksa tiga beg dan bungkusan yang terletak di laluan berdekatan bilik tidur ibunya tidak jauh dari lelaki itu tidur, ia mengandungi sebanyak 10 utas jam tangan pelbagai jenama, seunit telefon bimbit, dua bentuk cincin suasa dan seunit ‘walkman’ yang merupakan barangan dicuri dari rumah mereka.

“Di belakang sofa tempat suspek tidur pula, kami temui sisa nasi berlaukkan daging goreng dan petai dalam pinggan dan di sebelahnya terdapat biskut raya yang pada asalnya kami letakkan di dapur. Mungkin dia makan biskut selepas makan nasi lalu tertidur,” katanya yang percaya suspek memecah masuk rumahnya melalui tingkap sekitar jam 3 pagi.

-Mynewshub.my

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon