Thursday, October 25, 2012

Misteri Permainan 'Spirit Of The Coin'


Pelajar sekolah terutamanya mungkin pernah mendengar dengan satu permainan roh duit syiling atau dikenali sebagai Spirit Of The Coin. Permainan ini merupakan aktiviti yang boleh dilakukan sendirian mahupun bersama kawan.

Asal usul Spirit Of The Coin

Kalau bercakap tentang golongan yang sama pada 10 atau 20 tahun lalu, untuk mendapatkan keseronokan yang lebih, hanya boleh dicapai dengan sedikit kreativiti dan keberanian.

Kita tidak pasti sama ada generasi sekarang masih melakukan perkara ini, tetapi percaya cerita tentangnya sudah disampaikan dari mulut ke mulut.

Ia adalah suatu yang biasa di kalangan pelajar-pelajar sekolah, penghuni asrama dan juga kawan-kawan sepermainan di kawasan perumahan.

Tanpa diketahui ibu bapa, aktiviti ini dianggap suatu cara untuk menguji keberanian.

Malangnya, ramai yang tidak menyedari akan risiko emosi, soal hukum agama dan akibat buruk lain daripadanya.

Ia melibatkan sekeping kertas atau kad manila yang ditulis secara jelas abjad A hingga Z dan nombor 0 hingga 9 di sudut keliling. Tertera padanya juga perkataan ‘HOME’ atau ‘GOODBYE’ di tengah-tengah kertas. Tulisan itu diapit pula oleh perkataan ‘YES’ dan ‘NO’.

Lebih baik jika ia dilakukan dalam ruang tertutup dan hanya diterangi cahaya lilin. Sekeping duit syiling diperlukan.

Lebih lama usia duit syiling itu lebih baik.

Diletakkan di tengah-tengah perkataan ‘HOME’ jari telunjuk setiap pemain perlu diletak secara perlahan di atasnya sebelum seruan dimulakan.

‘Spirit-spirit of the coin, if you can hear me, please come’, seruan itu berbunyi. Setelah disebutkan berulang kali, duit syiling itu akan bergerak dengan sendirinya.

Maka, pemain akan mula bertanya pelbagai soalan tentang siapa, apa, bila dan bagaimana. Namun, ada juga percubaan yang tidak menjadi.

Selalunya ‘roh’ yang datang ialah daripada orang yang mati bunuh diri dan ia siap memberitahu bila dan di mana ia membunuh diri.

Setiap soalan akan dijawab berdasarkan pergerakan duit syiling itu yang mengeja mengikut abjad yang disediakan.

Kelakar juga apabila pertanyaan peribadi, cerita masa depan, serta rahsia sulit pemain didedahkan dalam permainan tersebut.

Tapi apakah benar, pergerakan itu berpunca dari roh yang diseru? Mungkinkah ia satu muslihat permainan yang dirancang oleh salah satu daripada pemainnya?

Tidak mungkin. Sekeping duit syiling disentuh oleh dua atau lebih jari mengikut bilangan pemain. Pasti ada salah seorang akan sedar kalau pergerakan itu sengaja didorong.

Setiap permainan ada syaratnya. Begitu juga dengan yang ini. Sekiranya permainan ini hendak diselesaikan, pemain akan menyuruh ‘roh’ itu pulang.

Kalau ia menurut, duit syiling itu akan bergerak kembali ke tulisan ‘HOME’ iaitu tempat ia mula-mula diseru.

Ada juga yang degil untuk pulang hinggakan permainan itu berlanjutan ke pagi. Antara jawapan menakutkan adalah ia tidak mahu pulang kerana mahu berdamping dengan pemain yang disukainya, atau mahu minta dibebaskan begitu sahaja untuk membalas dendam pada yang menyebabkan kematiannya.

Selagi tidak kembali ke perkataan ‘HOME’, selagi itulah juga jari setiap pemain tidak boleh dilepaskan daripada duit syiling itu. Bayangkanlah, ada yang keletihan, marah, menggigil dan juga menangis.

Walau bagaimanapun tidak pasti pula tentang akibatnya jika syarat menyudahkan permainan itu dilanggar. Tetapi dia pernah mendengar tentang pemain-pemain yang mengalami tekanan perasaan, sering ketakutan dan meracau ketika tidur.

Pada awalnya ada yang tidak percaya permainan seperti itu boleh membawa keburukan mahupun menyalahi agama.

Namun, keseronokan begini sebenarnya boleh ditemui dalam diri sendiri dan juga apabila bersama keluarga dan kawan-kawan dalam aktiviti sihat.

Spirit of the coin sebaliknya, seperti membuka pintu untuk mendapat ‘kawan’ dari dimensi lain.

Ironi permainan itu juga terlintas dalam fikiran kita. Semua ‘roh’ itu memahami abjad roman, cekap mengeja, kenal nombor, serta tahu fungsi perkataan ‘YES’, ’NO’ dan ‘HOME’ di atas kertas itu.

Anda ada penjelasan rasional?

BACA INI JUGA: Misteri Penemuan Teknologi Canggih Manusia Zaman Kuno

-SENTIASAPANAS.COM

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon