Saturday, September 29, 2012

Gelagat Warga Asing Bogel Depan Rumah


Gelagat warga asing yang selalu membuat bising dan mengganggu ketenteraman awam membuatkan beberapa penduduk di Kampung Limbok, Temiang merasa terganggu dan rimas.

Gambar hiasan

Warga asing yang menyewa rumah di sekitar Jalan Meng Lee itu bukan setakat membuat bising dan mabuk, malah ada antara mereka yang sengaja berbogel di hadapan rumah.

Tang Kam Sing, 60, salah seorang penduduk di situ berkata, kehidupan keluarganya tidak lagi aman sejak setahun lalu dengan kehadiran sekumpulan warga asing yang menyewa di hadapan rumahnya.

Menurutnya, perkara yang paling merimaskan keluarganya ialah tindakan lelaki dipercayai warga Bangladesh yang berusia sekitar 20- an itu yang sengaja berbogel di hadapan pintu rumah.

“Isteri saya akan bersenam di hadapan rumah setiap pagi dan dia pula sengaja membuka pintu dan tingkap supaya isteri saya dapat melihatnya.

“Meskipun dia tidak mengganggu kami namun tindakannya yang berbogel itu amat merimaskan,” katanya.

Kam Sing berkata, dia pernah menyuruh rakan serumah lelaki terbabit supaya menasihati rakannya itu agar menjaga tingkah laku.

“Saya sekadar mahu menegurnya atas semangat kejiranan dan tidak tergamak mahu menghalau mereka tetapi sehingga kini masih tiada perubahan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Low Chin Han, 45, berkata, warga asing di sekitar kampung itu hampir 100 orang dan mereka sering berkeliaran setiap malam.

“Setiap malam mereka buat bising dan sentiasa dalam keadaan mabuk.

“Apa yang paling kami bimbangkan adalah keselamatan anak perempuan kami kerana mereka juga selalu ganggu wanita yang berjalan kaki pulang ke rumah,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Temiang, Ng Chin Tsai memberitahu bahawa aduan mengenai masalah itu telah diajukan kepada pihak berkenaan.

“Saya harap polis akan melakukan rondaan secara berkala di kawasan ini bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon